KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025 telah berlangsung pada hari Sabtu, 13 September 2025 bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Program berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kerjasama strategik bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pertandingan kali ini menerima penyertaan yang amat menggalakkan dengan melibatkan sebanyak
80 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK Tamil) dari seluruh negara, dengan penglibatan seramai
800 orang pelajar. Daripada jumlah tersebut,
47 buah sekolah telah berjaya mara ke peringkat saringan, manakala hanya
10 sekolah terbaik akan melangkah ke pentas akhir bagi merebut gelaran juara kebangsaan.
Apa yang menjadikan pertandingan ini unik ialah semua persembahan teater dipentaskan sepenuhnya dalam
Bahasa Melayu. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif menggalakkan penguasaan dan penghayatan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar SJK Tamil, di samping memartabatkan seni teater sebagai medium pembelajaran dan penghayatan budaya yang berkesan.
Menurut pihak penganjur, pertandingan ini bukan sekadar medan mengasah bakat pelajar dalam bidang seni teater, malah ia turut memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti, daya imaginasi dan penghayatan terhadap isu-isu masyarakat. Melalui persembahan yang dipentaskan, para pelajar akan menyampaikan mesej pendidikan, moral dan nilai murni yang boleh dijadikan teladan oleh khalayak penonton.
Selain itu, penganjuran pertandingan ini turut berperanan sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Seni teater dijadikan jambatan untuk merapatkan hubungan antara pelajar berbeza latar belakang dengan memanfaatkan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi dan pengantar dalam seni persembahan. Dengan cara ini, kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dapat dipupuk sejak di bangku sekolah.
Pertandingan ini juga dilihat sebagai usaha murni dalam memperkasa peranan seni budaya sebagai salah satu bentuk pembelajaran yang kreatif. Seni teater bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut berfungsi sebagai medium mendidik, membina keyakinan diri serta melatih keberanian pelajar dalam berkomunikasi di khalayak ramai. Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada perkembangan sahsiah dan bakat generasi muda negara.
Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025 sekali gus menjadi
platform penting bagi memperkukuh usaha ke arah memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa perpaduan. Dengan penglibatan aktif
800 pelajar dari 80 buah sekolah Tamil seluruh negara, pertandingan ini bukan sahaja mengangkat martabat bahasa kebangsaan, malah turut menyerlahkan keindahan dan kekuatan seni teater sebagai warisan budaya yang harus terus dipertahankan.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200 Faks : 03-2697 0786
Website: www.jkkn.gov.my Email: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN: Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya 3
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya
SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Tanabalan SinniahPengerusiPersatuan Seni Pentas India Kuala LumpurTel: 019-5000030 / 012-2681322E-mel: stbalafsp@gmail.comNama: Nik Mohd Fadly Nik MatUnit Komunikasi KorporatJabatan Kebudayaan dan Kesenian NegaraTel: 013-382 2115E-mel: nikfadly@jkkn.gov.my--BERNAMA