Merdeka 2025: Malaysia Memacu Penyelidikan Klinikal, Dari ASEAN ke Persada Dunia.

Released on: Wednesday, 03 Sep 2025 3:02PM

Table

Kajian klinikal ASEAN menjadi antara fokus utama di CRM Trial Connect 2025, persidangan kajian klinikal antarabangsa anjuran CRM 


KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan, Malaysia turut mencerminkan peranan yang semakin kukuh dalam penyelidikan klinikal global sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Kepimpinan ini menegaskan komitmen Malaysia untuk memajukan inovasi penjagaan kesihatan dan meletakkan rantau ini sebagai hab penyelidikan klinikal.

Sejak penubuhan Clinical Research Malaysia (CRM) pada tahun 2012, penyelidikan klinikal yang ditaja telah menjana lebih RM1.6 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar serta mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia. Pada peringkat global, pasaran kajian klinikal dianggarkan bernilai kira-kira USD85 bilion pada tahun 2024, dengan jangkaan pertumbuhan tahunan sebanyak 6.5%. Hampir separuh daripada aktiviti ini kini tertumpu di rantau Asia-Pasifik, sekali gus membuka peluang untuk Malaysia memainkan peranan yang lebih besar pada masa hadapan.

Di sebalik kemajuan ini adalah 30,000 rakyat Malaysia yang telah menjadi sukarelawan dalam penyelidikan klinikal, menyumbang kepada pencapaian perubatan sambil mendapat akses lebih awal kepada rawatan inovatif. Komitmen mereka membuktikan bahawa penyelidikan klinikal bukan hanya soal sains tetapi juga tentang manusia sejagat, di mana keberanian dan harapan peserta kajian mampu mengolah masa depan yang lebih sihat untuk semua.

Daripada permulaan yang sederhana lebih dua dekad lalu, Malaysia telah berkembang menjadi hab yang dipercayai bagi kajian klinikal lebih maju dan kompleks. Keupayaan ini terbukti tahun lalu apabila lapan daripada 25 terapi onkologi baharu yang dilancarkan di seluruh dunia telah menjalani kajian klinikal di Malaysia, membolehkan pesakit tempatan mendapat akses lebih awal kepada rawatan kanser terkini berbanding kebanyakan negara lain. Selain manambahbaik hasil rawatan pesakit, perkembangan Malaysia juga telah memperkukuh perwakilan Asia dalam kajian klinikal global, khususnya bagi penyakit-penyakit yang lebih berleluasa di rantau ini. Pencapaian ini menyerlahkan kemajuan negara serta kesediaannya untuk membentuk masa depan penyelidikan klinikal.

"Kepimpinan Malaysia dalam penyelidikan klinikal bukan sekadar medapat pengiktirafan global, tetapi juga memastikan keutamaan rakyat didahulukan dalam usaha ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof. “Fokus kami adalah untuk meningkatkan taraf penjagaan pesakit sambil menyumbang kepada pencapaian perubatan di peringkat global. Sebagai Pengerusi ASEAN, kami berbangga menunjukkan bagaimana kerjasama serantau mampu membawa manfaat yang melangkaui sempadan kita."

Pada hari Kebangsaan ini, Malaysia bukan sahaja meraikan perpaduan dan kemerdekaannya, tetapi juga kedudukannya sebagai hab penyelidikan klinikal yang dipercayai — untuk negara, untuk ASEAN dan untuk sedunia.
 
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM)

Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini mengutarakan prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. CRM pada asasnya bertujuan untuk memupuk penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang belum dapat dipenuhi oleh ubat-ubatan sedia ada, dan memajukan natijah kesihatan di Malaysia.    

CRM memastikan kajian klinikal tajaan dijalankan dengan kepantasan, keandalan dan mutu (Speed, Reliability and Quality) dengan mengutamakan kecemerlangan operasi, serta kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Seluruh CRM berfungsi berlandaskan nilai teras dan kod tatalaku yang berpandukan perakuan seperti ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah) dan peraturan kawal selia antarabangsa. Kekuatan CRM berdiri sepenuhnya dengan junjungan warganya yang berkongsi visi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my  


SUMBER: Clinical Research Malaysia (CRM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Siti Nazatul Tokshim
Eksekutif Komunikasi Korporat     
E-mel: siti.nazatul@clinicalresearch.my  
Tel : +6019-784 2080 / +603-7931 5566 (samb. 123)

--BERNAMA
Back to Home