KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) BERKAITAN EHATI: PENYELEWENGAN AKIDAH DAN NILAI MORAL UMAT ISLAM

Released on: Monday, 14 Jul 2025 10:42AM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memandang serius isu program motivasi dan pembangunan diri yang mencetuskan kebimbangan awam, terutamanya yang menyentuh hal kekeluargaan dan kesejahteraan individu.

IKIM ingin menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang syumul meliputi setiap aspek kehidupan termasuk urusan peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan dan hubungan dengan Allah SWT. Oleh itu, setiap program motivasi atau usaha pembinaan diri mestilah berlandaskan ajaran Islam yang sahih serta mengangkat nilai moral dan akhlak yang terpuji.

IKIM bimbang dengan pendekatan yang menggunakan istilah seperti kasih sayang, penerimaan diri atau kebahagiaan tanpa berpaksikan syariat, malah diselitkan dengan unsur falsafah sesat serta budaya yang bercanggah dengan akidah dan akhlak Islam. Tindakan yang mempromosikan kebebasan syahwat, menormalisasi maksiat atau menggalakkan gaya hidup bertentangan dengan fitrah insan dan kekeluargaan bukan sahaja menyimpang, malah mengancam asas perkahwinan serta peranan semula jadi lelaki dan wanita dalam institusi keluarga.

Hal ini merupakan ancaman serius terhadap kestabilan masyarakat dan masa depan generasi akan datang serta wajar ditolak dan ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa agama. Prinsip Islam menekankan pentingnya menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan atau keburukan.

IKIM menyeru umat Islam di Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap pengaruh yang bertentangan dengan ajaran Islam. Marilah kita bersama memperkukuh akidah, memelihara akhlak dan membina keluarga yang harmoni, penuh kasih sayang dan rahmat, demi melahirkan generasi beriman serta bertamadun.
 
Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
11 Julai 2025 bersamaan 15 Muharam 1447H
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: En. Johari bin Omar   
Tel: 019-238 0466
E-mel: johari@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my 

--BERNAMA
Back to Home