PERSIDANGAN KERJASAMA ANTARA NEGARA-NEGARA ASIA TIMUR UNTUK PEMBANGUNAN PALESTIN (CEAPAD IV), 11 JULAI 2025, KUALA LUMPUR

Released on: Friday, 11 Jul 2025 4:33PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Jepun akan menganjur bersama Persidangan Kerjasama antara Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) pada 11 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Mesyuarat ini akan dipengerusikan bersama oleh Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Takeshi Iwaya, Menteri Luar Negeri Jepun dan Tuan Yang Terutama Dr. Estephan Salameh, Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin.

CEAPAD telah ditubuhkan bagi menyatukan usaha-usaha negara Asia Timur dalam menyediakan bantuan pembangunan modal insan kepada Palestin. Negara-negara dan Organisasi Antarabangsa yang akan menyertai CEAPAD IV ialah Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Palestin, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Timor-Leste, Vietnam, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB).

CEAPAD IV merupakan satu platform penting dalam memperkasakan usaha-usaha nasional dan serantau secara kolektif bagi memenuhi keperluan segera rakyat Palestin, terutamanya dalam aspek kritikal seperti penyaluran bantuan kemanusiaan segera, pemulihan dan pembinaan semula, pembangunan ekonomi, pembangunan modal insan dan reformasi institusi dan tadbir urus. Mesyuarat ini dijangka menerima pakai Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2025, yang akan menggariskan keutamaan CEAPAD untuk Palestin.

Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyokong usaha-usaha penyaluran bantuan kemanusiaan, pembinaan semula Gaza dan pembangunan modal insan untuk Palestin termasuk melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

PUTRAJAYA
11 Julai 2025

SUMBER: Communication & Public Diplomacy Division,
Ministry of Foreign Affairs

--BERNAMA
Back to Home