APF 2025: Kecemerlangan Kerajaan (Gov-X) Lonjak Produktiviti Pahang

Released on: Friday, 11 Jul 2025 1:55PM

Table
Antara Panel Penilai yang terlibat dalam Anugerah Pahang 1st 2025


GENTING HIGHLANDS, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang memacu inisiatif Government Excellence (GovX) melalui Anugerah Pahang 1st (APF 2025), platform pengiktirafan berprestij yang menyasarkan tadbir urus cekap, penyampaian perkhidmatan pantas, serta peningkatan produktiviti untuk manfaat langsung rakyat dan industri. Program ini menegaskan peranan sektor awam sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negeri, sekali gus meningkatkan daya saing Pahang di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
Bengkel “Pemurnian Kriteria Penilaian Gov-X Pahang 1st” anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Pahang telah memperkukuh kefahaman panel penilai terhadap pendekatan hasil-berasaskan (outcome-based). Kaedah ini memastikan setiap ringgit belanja kerajaan diterjemahkan kepada nilai tambah nyata sama ada dalam bentuk peluang pekerjaan baharu, pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), hinggalah peningkatan kualiti hidup warga Pahang.
 
MPC memperkenalkan lapan teras penilaian dan 24 sub-kriteria yang menggabungkan Business Excellence Framework (BEF) serta Report on Government Services (ROGS) Australia. Unsur Kepimpinan, Objektif, Strategi, Pelanggan, Perkhidmatan, Output, Outcome dan Pengurusan Pengetahuan dipilih bagi memupuk budaya prestasi tinggi serta mengukuhkan kolaborasi kerajaan–industri. Penilaian tidak lagi terhad pada ukuran konvensional; impak sebenar kepada komuniti seperti pengurangan kerenah birokrasi, kemudahan digital dan kos operasi yang lebih rendah akan menjadi keutamaan penilaian.
 
“Penilaian berstruktur ini adalah pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor awam yang berintegriti, cekap dan responsif,” ujar Dr. Noor Aishah Haji Hassan, Pengarah MPC Pahang.
 
Beliau menekankan bahawa penyertaan aktif panel penilai menzahirkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh ekosistem prestasi berasaskan data, sekali gus membuka ruang insentif baharu berlandaskan prestasi agensi dan impaknya kepada rakyat serta pemain industri.
 
Dengan kriteria mantap dan sokongan Gov-X, APF 2025 dijangka mempercepat penambahbaikan berterusan dalam agensi kerajaan negeri, merangsang persekitaran perniagaan kondusif, dan memastikan hasil pembangunan dikongsi secara inklusif. Inisiatif ini seterusnya meneguhkan Pahang sebagai negeri dinamik, relevan, dan kalis masa hadapan demi kesejahteraan rakyat dan kemampanan produktiviti dan daya saing industri.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019- 7181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my
 
Nama: Roslinda Abdul Hamid 
Tel: 019-2296199
E-mel: lynda@mpc.gov.my

--BERNAMA
Back to Home