KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- IKIM mengambil maklum bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara, seperti yang termaktub dalam
Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan
Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong, dengan perundingan bersama Majlis Raja-Raja. Kami menegaskan bahawa proses ini perlu dijalankan dengan penuh ketelusan, integriti dan mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk menjamin kebebasan kehakiman.
Kami memahami kebimbangan sesetengah pihak terhadap kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara dan spekulasi mengenai kemungkinan campur tangan eksekutif. Walau bagaimanapun kekosongan jawatan ini adalah sebahagian daripada peralihan biasa dalam institusi kehakiman dan tidak sepatutnya dipolemikkan. IKIM berpendirian bahawa keyakinan terhadap institusi kehakiman perlu dikekalkan dengan memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit, kecekapan dan pengalaman, tanpa pengaruh politik atau tekanan luar.
IKIM menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang dan tidak terperangkap dalam spekulasi atau persepsi negatif yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman. Hormati proses pelantikan yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa termasuk JAC, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab. Rakyat juga digalakkan untuk memahami fakta-fakta berkaitan proses ini melalui sumber yang sahih dan bukannya bergantung kepada naratif liar yang mungkin tidak lengkap atau berat sebelah.
IKIM komited untuk menyokong kebebasan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang utama dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia. Kami menyokong cadangan reformasi yang memperkukuh ketelusan dalam pelantikan hakim termasuk mengurangkan peranan eksekutif dalam proses ini, selama mana selari dengan Perlembagaan dan semangat demokrasi. Kami juga berharap supaya pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain mahkamah atasan dibuat dalam tempoh yang munasabah untuk mengelakkan kekosongan berpanjangan yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed AdilKetua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
10 Julai 2025 bersamaan 14 Muharam 1447H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: En. Johari bin Omar
Tel: 019-238 0466
E-mel: johari@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA