YB SUK Pahang mempengerusikan sesi pembentangan 17 projek RKB oleh PBT bagi memperkasa reformasi perkhidmatan awam negeriKUANTAN, 9 Julai (Bernama) -- Komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam terus dizahirkan melalui penganjuran Sesi Pembentangan Khas Perkembangan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), yang telah diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS). Program ini telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Pahang, dan dianjurkan oleh Pejabat SUK Pahang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Negeri Pahang.
Sesi ini memberi ruang kepada ketua jabatan dan wakil PBT untuk membentangkan kemajuan pelaksanaan 17 projek RKB yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri. Antara fokus utama pembentangan termasuklah usaha mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat proses kelulusan, serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi. Pendekatan yang diketengahkan merangkumi penambahbaikan aliran kerja sedia ada, pemanfaatan teknologi dan digitalisasi, serta rasionalisasi proses-proses yang tidak memberi nilai tambah. Semua ini dilakukan bagi meningkatkan kecekapan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh PBT.
Dalam sesi yang sama, Dr. Noor Aishah Haji Hassan, Pengarah MPC Pahang turut membentangkan status pelaksanaan keseluruhan inisiatif RKB di bawah payung program GOV-X Pahang 1st yang menjadi pemacu pertumbuhan produktiviti negeri melalui pendekatan reformasi sistematik secara menyeluruh. Beliau turut mengetengahkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh pasukan projek dalam merealisasikan pemerkasaan sektor awam Pahang.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas usaha gigih semua PBT dan memberi pandangan membina terhadap setiap pembentangan. Beliau menekankan betapa pentingnya semangat kolaborasi rentas jabatan, penghapusan amalan kerja berasingan atau silo, serta keperluan untuk melaksanakan pemantauan berterusan terhadap impak inisiatif yang dilaksanakan. Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan transformasi dalam kalangan ketua jabatan amat penting untuk memastikan setiap perubahan yang dirancang benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat dan menyumbang kepada produktiviti dan daya saing negeri secara berterusan.
Pelaksanaan projek RKB di Pahang tidak hanya membawa pembaharuan kepada struktur pentadbiran semata-mata, malah mencerminkan tekad kerajaan negeri untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan. Pahang kini berada di landasan kukuh sebagai negeri contoh dalam usaha reformasi perkhidmatan awam, menjadikan produktiviti dan kecekapan sebagai tunjang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan lima teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan memupuk minda produktif. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-7181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my
Nama: Mohd Azhar Zainuddin
Tel: 013-3305953
E-mel: mohdazhar@mpc.gov.my
--BERNAMA