PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kepada beberapa siaran media berkaitan dengan sebuah syarikat yang telah mendapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair / gel yang mengandungi campuran nikotin secara interim.
Pihak KKM ingin menjelaskan bahawa pengeluaran Lesen Pengilang adalah di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (Aktiviti Perlesenan).
Walau bagaimanapun, aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik di pasaran tempatan adalah dikawal di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852]. Di bawah Seksyen 2, Akta 852, cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai bahan merokok iaitu:
“apa-apa bahan atau apa-apa gabungan bahan, yang digunakan untuk merokok, termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.”Oleh yang demikian, bahan merokok ini merupakan produk merokok yang dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan namun dikawal ketat di bawah Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya.
Kawalan produk merokok ini juga dikawal oleh pelbagai agensi kerajaan lain seperti berikut –
a) Kawalan pengimportan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui kawalan pengimportan termasuk bahan mentah, barangan siap. [Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008];
b) Pengujian piawaian keselamatan peranti oleh SIRIM dan dikuatkuasakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik (Vape Device) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik merupakan keputusan kolektif oleh semua agensi-agensi kerajaan seperti di atas.
Akta 852 juga memperuntukkan kuasa kepada KKM untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan dan emisi semua jenis produk merokok. KKM komited untuk memastikan penguatkuasaan dan kawalan di tahap maksima bagi memastikan perlindungan kesihatan dan keselamatan masyarakat.
Ini adalah sejajar dengan nilai MADANI yang merangkumi Kemampanan dan Kesejahteraan. KKM akan sentiasa memastikan tiada sebarang kompromi dalam apa juga aspek yang menyentuh perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara ini khususnya dalam penggunaan bahan-bahan rawatan dan perubatan.
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Kawalan PenyakitMelalui:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA