TOURISE dan Skift Menerbitkan Laporan Global Baharu Mengenai Pembangunan Tenaga Kerja Pelancongan Generasi Seterusnya

Released on: Thursday, 26 Nov 2026 11:04AM

Penyelidikan baharu memberi amaran tentang kemungkinan kekurangan 43 juta pekerja menjelang tahun 2035 dan menggesa pendekatan baharu untuk menarik, membangunkan serta mengekalkan bakat yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan global yang berterusan

RIYADH, Arab Saudi Arab, 26 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- TOURISE, dengan kerjasama Skift, hari ini menerbitkan laporan baharu bertajuk “The Talent Imperative: How Travel and Tourism Will Build Its Next Generation Workforce” (Keperluan Mendesak Pembangunan Bakat: Cara Industri Pelancongan dan Pengembaraan Membentuk Tenaga Kerja Generasi Seterusnya).

Berdasarkan penyelidikan Skift Research serta cerapan daripada peneraju industri perhotelan, penerbangan, akademik, pemasaran destinasi, pelayaran dan pelancongan dalam talian, laporan ini meneliti cabaran yang semakin meruncing dalam ekonomi pelancongan global, iaitu memastikan tenaga kerja bersedia untuk mengimbangi kepesatan perkembangan sektor tersebut.

Industri pelancongan dan pengembaraan menyokong sejumlah 366 juta pekerjaan pada tahun 2025, iaitu paras tertinggi yang pernah direkodkan, dan diunjurkan mewujudkan 91 juta lagi peluang pekerjaan menjelang tahun 2035, bersamaan satu daripada setiap tiga pekerjaan baharu bersih yang diwujudkan di seluruh dunia. Namun begitu, sektor ini juga berdepan kemungkinan kekurangan lebih 43 juta pekerja, dengan penawaran tenaga kerja diunjurkan 16% lebih rendah daripada permintaan.

“Fasa pembangunan industri pelancongan seterusnya akan dibentuk bukan sahaja oleh destinasi, malah oleh tenaga kerja yang menggerakkannya,” kata Yang Berhormat Ahmed Al Khateeb, Menteri Pelancongan Arab Saudi merangkap Pengerusi TOURISE.

“Seiring dengan perkembangan sektor ini, pelaburan dalam destinasi dan infrastruktur perlu disertai pelaburan dalam pembangunan modal insan yang menghidupkan destinasi tersebut. Unjuran jurang tenaga kerja ini merupakan seruan jelas untuk bertindak. Kerajaan, pemain industri dan institusi pendidikan perlu bekerjasama untuk menyediakan lebih banyak laluan kerjaya dalam sektor pelancongan, mempercepat pembangunan kemahiran serta menawarkan peluang bermakna kepada generasi akan datang untuk membina kerjaya yang berkekalan. Teknologi akan mengubah cara kita bekerja, namun manusia akan terus menjadi teras industri pelancongan.”

Antara penemuan utama laporan ini ialah:

· Jurang tenaga kerja semakin menjadi kekangan kepada pertumbuhan. Industri pelancongan dan pengembaraan mungkin menghadapi kekurangan lebih 43 juta pekerja di seluruh dunia menjelang tahun 2035, sekali gus menjadikan pembangunan infrastruktur tenaga kerja amat penting bagi mengekalkan pertumbuhan sektor ini.
· Kepantasan menyediakan pekerja untuk menjalankan tugas sama penting dengan kepantasan pengambilan pekerja. Walaupun banyak organisasi mampu mengisi kekosongan jawatan dengan agak cepat, 42% pengurus pengambilan pekerja menyatakan bahawa pekerja baharu memerlukan antara empat hingga enam bulan untuk mencapai tahap produktiviti sepenuhnya. Keadaan ini menekankan keperluan untuk memperkukuh proses penyesuaian pekerja baharu, latihan dan peningkatan kemahiran.
· Generasi seterusnya mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap kerjaya dalam industri pelancongan. Fleksibiliti, nilai syarikat dan peluang kenaikan pangkat yang pantas merupakan antara keutamaan utama Generasi Z, sekali gus meningkatkan kepentingan laluan kerjaya yang jelas serta peluang untuk kemajuan kerjaya.
· Saluran pembangunan bakat tempatan dan ekosistem bakat global perlu saling melengkapi. Hubungan yang lebih kukuh antara majikan, komuniti, sekolah dan institusi latihan dapat meluaskan akses kepada bakat, di samping mewujudkan laluan kerjaya yang mampan untuk menyertai industri ini.
· AI mampu memperkukuh keupayaan manusia. Teknologi boleh mengautomasikan tugas rutin, mempercepat proses latihan dan meningkatkan produktiviti, sekali gus membolehkan pekerja memberikan tumpuan kepada pertimbangan profesional, empati dan hubungan sesama manusia yang kekal menjadi asas penting dalam industri pelancongan dan perhotelan.

“Industri pelancongan dan pengembaraan sedang memasuki era yang menawarkan peluang amat besar, namun keupayaan industri untuk memanfaatkan pertumbuhan ini bergantung pada tenaga kerjanya,” kata Rafat Ali, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Skift. “Isu ini bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan. Sebaliknya, kita perlu membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan dalam industri pelancongan. Ini bermakna menyediakan laluan yang lebih kukuh untuk menyertai industri, mempercepat pembangunan kemahiran serta mewujudkan kerjaya yang ingin diceburi dan diteruskan oleh pekerja. Organisasi yang berjaya melaksanakan pendekatan ini akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk bersaing dan berkembang dalam dekad akan datang.”

Laporan tersebut turut menggesa kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, majikan dan penyedia pendidikan bagi memastikan dasar tenaga kerja, pembangunan kemahiran serta keperluan industri lebih sejajar. Bagi TOURISE, penemuan ini memperkukuh satu keperluan yang lebih menyeluruh, iaitu pertumbuhan industri pelancongan pada masa depan bukan sahaja bergantung pada bidang yang menerima pelaburan, tetapi juga pada cara sektor ini membangunkan dan memperkasa tenaga kerja yang menjayakan setiap perjalanan.

Laporan “Keperluan Mendesak Pembangunan Bakat: Cara Industri Pelancongan dan Pengembaraan Membentuk Tenaga Kerja Generasi Seterusnya” boleh didapati di TOURISE.com.

Muat turun laporan tersebut di sini: https://www.tourise.com/en/insights/white-paper/0amnc/the-talent-imperative.

Maklumat tentang TOURISE

TOURISE ialah platform terunggul dunia untuk mentakrifkan semula dan membentuk masa depan pelancongan.

Dengan sokongan Kementerian Pelancongan Arab Saudi, Sidang Kemuncak TOURISE julung kali diadakan di Riyadh dari 11 hingga 13 November 2025. Acara itu menghimpunkan tokoh berwawasan daripada sektor kerajaan, perniagaan, pelaburan, pelancongan dan teknologi untuk memajukan inisiatif berimpak tinggi dan mengusahakan perjanjian yang bakal mengubah hala tuju industri serta membina sektor pelancongan yang lebih mampan, saksama dan berorientasikan masa hadapan.

Sebagai platform global yang aktif sepanjang tahun, TOURISE menghimpunkan pemimpin yang berkongsi visi untuk membentuk ekonomi berasaskan perjalanan. Di sinilah hala tuju pelancongan bagi 50 tahun akan datang dirangka.

Sidang Kemuncak TOURISE seterusnya akan berlangsung di Riyadh dari 23 hingga 25 Mac 2027. Untuk maklumat lanjut tentang TOURISE serta untuk memohon jemputan menghadiri acara itu, layari www.TOURISE.com.

Maklumat tentang Skift

Skift ialah platform rujukan utama bagi menyokong pembuatan keputusan dalam industri pelancongan global. Wartawan dan pakar industrinya yang memenangi anugerah menyediakan cerapan merentas sektor utama pelancongan melalui berita, penyelidikan, acara, wawancara, surat berita dan pelbagai produk cerapan lain. Maklumat ini membantu golongan profesional pelancongan di seluruh dunia memahami dengan lebih mendalam aspek perniagaan serta transformasi industri pelancongan.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20261123196516/en

Contacts

media@TOURISE.com

Sumber: TOURISE

--BERNAMA 
Back to Home