Sinergi Dua Bandar Menjadi "Aset Utama" dalam Industri MICE; Hengqin dan Macau Berganding Bahu untuk Mencetuskan Momentum Baharu bagi Pengembangan ke peringat Global

Released on: Wednesday, 25 Nov 2026 4:16PM

Table
Sinergi Dua Bandar Menjadi “Aset Utama” dalam Industri MICE, Hengqin dan Macau Berganding Bahu untuk Mencetuskan Momentum Baharu bagi pengembangan ke peringkat Global 

ZHUHAI, China, 25 Nov., 2026 /Xinhua-AsiaNet/ --

Sepanjang 2026, Zon Kerjasama Mendalam Guangdong-Macau di Hengqin terus memperkukuh model inovatif “satu pameran, dua bandar” dengan memanfaatkan kelebihan ruang dan lokasi acara, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi merancakkan pembangunan industri. Industri MICE di kawasan itu kini berkembang pesat ke arah pertumbuhan berkualiti tinggi. Pada separuh pertama tahun ini, Hengqin telah menganjurkan 271 mesyuarat dan acara, merangkumi 19 peratus daripada keseluruhan acara seumpamanya di Zhuhai. Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan Hengqin untuk muncul sebagai destinasi MICE yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Memperluas Ruang: Infrastruktur Bertaraf Tinggi Memperkukuh Model “Satu Pameran, Dua Bandar”

Setakat ini, Hengqin telah membangunkan dua pusat pameran utama, iaitu Tianmu Qintai dan Pusat Konvensyen dan Pameran Hengqin IFC, selain menyediakan pelbagai kemudahan mesyuarat berskala kecil dan sederhana seperti Sumlodol Camping Town serta Kompleks Kebudayaan dan Seni Hengqin. Kemudahan ini mampu menampung pelbagai acara, daripada forum antarabangsa yang menghimpunkan ribuan peserta hinggalah pameran perdagangan berskala besar. Keupayaan keseluruhan dari segi penyediaan ruang pameran dan kemudahan mesyuarat juga meningkat dengan ketara. Pada 1 November tahun ini, Ekspo Automobil Antarabangsa China (Macau) ke-16 dan Pameran Kapal Layar Antarabangsa buat julung kalinya memindahkan pameran fizikal serta aktiviti perdagangan ke Tianmu Qintai di Hengqin. Langkah itu menyaksikan penganjuran acara rentas dua bandar yang menggabungkan pameran darat dan laut serta industri automotif dan kapal layar. Lokasi utama di Macau memberi tumpuan kepada usaha menemukan pembeli antarabangsa dengan penggiat industri serta rundingan perniagaan, manakala ruang pameran di Hengqin menyediakan pengalaman secara langsung berkaitan kenderaan dan kapal layar, di samping menjadi platform untuk merealisasikan jualan di lokasi. Kejayaan menganjurkan acara yang mendapat pengiktirafan UFI itu di Hengqin membuktikan bahawa kawasan berkenaan kini mempunyai kemudahan dan prasarana yang diperlukan untuk menganjurkan pameran perdagangan profesional bertaraf antarabangsa.

Pertambahan ruang dan kemudahan turut menyumbang kepada peningkatan berterusan dari segi jumlah dan mutu penganjuran acara. Pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 11 acara bersama dianjurkan menerusi model “satu pameran, pelbagai lokasi” Hengqin-Macau, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. Ekspo Seni Digital Antarabangsa Hengqin-Macau yang berlangsung di Kompleks Kebudayaan dan Seni Hengqin pula menerima lebih 30,000 kunjungan.

Memperkukuh sebuah Persekitaran yang Kondusif: Pembangunan Bakat dan Sokongan Dasar Menjamin Daya Saing Jangka Panjang

Usaha membangunkan bakat menerusi kerjasama antara Hengqin dengan Macau turut menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Pada penghujung Oktober, Biro Pembangunan Perindustrian zon kerjasama itu menganjurkan lawatan hampir 60 orang pensyarah dan pelajar dari Universiti Pelancongan Macau ke Hengqin. Sepanjang lawatan, mereka berpeluang meninjau Tianmu Qintai serta kemudahan sokongan MICE di Sumlodol, selain menjalankan kajian lapangan mengenai prosedur penganjuran acara MICE rentas sempadan dan dasar sokongan bagi penganjuran acara di kedua-dua bandar. Inisiatif ini turut membuka peluang latihan industri dan pekerjaan kepada tenaga profesional MICE dari Macau.

Reputasi industri di Hengqin dan Macau terus meningkat, dengan pencapaian membanggakan dalam memperoleh pengiktirafan antarabangsa. Macau berjaya meraih anugerah antarabangsa seperti Destinasi Konvensyen Terbaik (Asia) dan Bandar BT-MICE Terbaik selama empat tahun berturut-turut. Hengqin pula menerima Anugerah Destinasi MICE Antarabangsa yang Sedang Meningkat Naik serta anugerah Unit Inovasi Terbaik bagi Dasar MICE. Pada Ogos tahun ini, Biro Pembangunan Perindustrian zon kerjasama itu secara rasmi menyertai Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA), sekali gus menjadikan jumlah keanggotaan ICCA di Hengqin dan Macau sebanyak 16. Keanggotaan ini memberikan pengiktirafan serta akses kepada rangkaian antarabangsa yang penting dalam usaha membida penganjuran acara pameran dan konvensyen bertaraf tinggi. Dalam pada itu, zon kerjasama berkenaan terus menambah baik dasar sokongan industri MICE, termasuk menyediakan subsidi sehingga RMB1 juta bagi persidangan antarabangsa yang disenaraikan dalam statistik ICCA, selain insentif tambahan untuk pameran yang mendapat pengiktirafan UFI atau ICCA. Peruntukan kewangan yang besar ini mencerminkan komitmen untuk meningkatkan profesionalisme dan taraf antarabangsa acara MICE, di samping menarik lebih banyak projek harta intelek (IP) berkualiti tinggi.

Menembusi Pasaran Global: Kerjasama Hengqin-Macau Memperluas Jaringan MICE ke Seluruh Dunia

Dengan memanfaatkan kelebihan Macau sebagai penghubung kepada negara-negara berbahasa Portugis serta kedudukannya dalam industri MICE antarabangsa, industri MICE Hengqin kini melepasi batas pasaran tempatan Zhuhai. Melalui kerjasama dengan Macau, Hengqin kini giat meneroka pasaran global, mendekati pelanggan dari pelbagai negara, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan meningkatkan penglibatan antarabangsa dalam penganjuran acara MICE.

Sejak awal tahun ini, promosi bersama jenama MICE Hengqin-Macau di luar negara telah dijadikan sebagai agenda kerjasama yang berterusan. Pada Ogos, kedua-dua pihak mengadakan misi promosi ke Kuala Lumpur sempena M&C Asia Connections. Pada September pula, delegasi bersama ke Bangkok bagi menyertai Incentive Travel & Conventions, Meetings Asia (IT&CMA). Lebih 20 syarikat dari Macau dan Hengqin mengambil bahagian dalam acara itu dan berjaya mengadakan 306 sesi padanan perniagaan secara bersemuka dengan pembeli antarabangsa. Kedua-dua penyertaan di luar negara itu secara keseluruhannya menghasilkan lebih 700 perbincangan perniagaan.  Pada awal November, pasukan promosi perniagaan Hengqin-Macau menyertai China International MICE Exchange (CIMX) di Beijing. Menerusi penyertaan itu, pasukan berkenaan memperkenalkan laluan pameran rentas sempadan yang merangkumi beberapa destinasi kepada syarikat terkemuka dalam sektor mesyuarat dan perjalanan insentif di China, di samping memperkenalkan dasar sokongan industri MICE Hengqin serta memperluas jenama “MICE Macau-Hengqin”.

Jaringan antarabangsa Hengqin-Macau terus diperluas ke rantau Amerika Latin dan Eropah. Pada 16 November, bersempena penganjuran Forum Pertukaran Industri MICE China-Brazil 2026, satu delegasi industri MICE dari Brazil mengadakan lawatan ke Institut Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Macau (IPIM), selain mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama perniagaan dengan Biro Pembangunan Perindustrian Zon Kerjasama Mendalam Guangdong-Macau di Hengqin. Kerjasama ini membuka saluran baharu bagi Hengqin untuk meneroka pasaran negara-negara berbahasa Portugis dalam sektor MICE, dengan memanfaatkan peranan Macau sebagai platform penghubung antara China dengan negara-negara berbahasa Portugis. Dari 17 hingga 19 November, Hengqin dan Macau turut berganding bahu menyertai IBTM World di Barcelona, acara perdagangan MICE terkemuka dunia. Menerusi penyertaan itu, kedua-dua pihak memperkenalkan model “satu pameran, dua bandar” kepada penganjur MICE antarabangsa, di samping berusaha menarik lebih banyak pameran yang mendapat pengiktirafan antarabangsa untuk dianjurkan di rantau berkenaan.

Daripada kerjasama MICE Hengqin-Macau yang rancak pada separuh pertama tahun ini, sehinggalah kepada pelaksanaan pelbagai misi promosi perniagaan rentas sempadan dan usaha memperluas jaringan global menjelang penghujung tahun, industri MICE Hengqin kini melalui satu transformasi penting. Hengqin bukan lagi sekadar menyediakan ruang fizikal untuk penganjuran pameran, sebaliknya sedang berkembang menjadi sebuah “hab MICE rentas sempadan” yang menghubungkan Macau dengan pasaran antarabangsa. 

SUMBER: The Guangdong-Macao In-Depth Cooperation Zone in Hengqin

--BERNAMA 
Back to Home