MALAYSIA PERKUKUH ASPIRASI HAB BIOEKONOMI HALAL GLOBAL MELALUI PLATFORM BIO-LINK: BUSINESS GROWTH ACCELERATION

Released on: Tuesday, 24 Nov 2026 3:52PM


Table
(Tengah) Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, merasmikan majlis pelancaran Bio-Link: Business Growth Acceleration di Meliá Kuala Lumpur pada 24 November 2026, diiringi (kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En. Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, dan (kiri) Timbalan Setiausaha Bahagian 2, Bahagian Teknologi Strategik Dan Aplikasi S&T, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Ts. Dr. Radin Zulhazmi Bin Radin Abdul Halim.


KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), melalui agensinya, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), telah melancarkan Platform Bio-Link: Business Growth Acceleration di Hotel Meliá Kuala Lumpur, hari ini.
 
Bio-Link menyatukan sokongan industri sedia ada yang disediakan oleh Bioeconomy Corporation, merangkumi pembangunan produk, perkhidmatan teknikal, pensijilan, pembiayaan serta akses pasaran, dalam satu platform bersepadu. Di bawah rangka kerja ini, program HalalBio+ melengkapkan perusahaan bioteknologi dan berasaskan bio tempatan dengan sokongan untuk mendapatkan pensijilan halal serta mengembangkan perniagaan ke pasaran domestik dan antarabangsa.

YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata bahawa inisiatif ini merupakan satu langkah besar ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab bioekonomi halal global dengan menggabungkan kekuatan negara dalam bidang sains, teknologi dan integriti halal.

“Selain diiktiraf sebagai peneraju global dalam pensijilan halal, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pembangunan produk bioteknologi dan berasaskan bio yang memenuhi piawaian halal antarabangsa. Melalui HalalBio+, syarikat bioteknologi dan berasaskan bio tempatan, khususnya syarikat yang mempunyai Status BioNexus dan syarikat di bawah program Bio-based Accelerator, berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang ini,” katanya.

“Dengan nilai eksport halal Malaysia mencecah RM68.5 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan hampir 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, penerapan amalan halal dapat meningkatkan kebolehpasaran produk, membina keyakinan pelabur serta membuka peluang dalam sektor berpertumbuhan tinggi seperti makanan dan minuman, kosmetik, ramuan dan farmaseutikal. Kesiapsiagaan halal perlu dilihat sebagai strategi teras pertumbuhan perniagaan dan bukannya sekadar keperluan pematuhan,” tambah beliau.

HalalBio+ dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama rakan strategik yang berdaftar dengan Malaysia International Halal Academy (MIHA) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini merangkumi tiga fasa teras, iaitu Halal Assessment (Penilaian Halal), Halal Bootcamp (Kem Latihan Halal) dan Halal Coaching (Bimbingan Halal).

Sebanyak 18 syarikat perintis telah melengkapkan komponen Halal Assessment dan Halal Bootcamp. Penyertaan ini melibatkan pelbagai subsektor, termasuk makanan dan minuman, kosmetik, produk penjagaan diri, suplemen kesihatan, premis makanan serta perkhidmatan pengilangan dan pembungkusan. Syarikat-syarikat ini seterusnya akan mengikuti komponen Halal Coaching bagi mendapatkan bimbingan yang lebih bersasar dan praktikal sebagai persediaan untuk memohon pensijilan halal JAKIM.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En. Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata bahawa HalalBio+ melangkaui bantuan pensijilan tradisional dengan menangani jurang pematuhan, di samping meningkatkan kesiapsiagaan komersial.

“Kami akan berusaha menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai HalalBio+ menjelang tahun 2027. Lebih penting lagi, kami ingin memupuk pemahaman yang lebih baik bahawa pematuhan halal merupakan amalan perniagaan penting yang memelihara integriti produk dan menyokong kemampanan jangka panjang,” katanya.

Pelaksanaan Bio-Link dan HalalBio+ menyokong secara langsung Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), khususnya dalam memajukan pengkomersialan inovasi tempatan serta memperluas pasaran global.

Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
24 NOVEMBER 2026 

MENGENAI BIOECONOMY CORPORATION

 
Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) merupakan agensi peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
 
Bioeconomy Corporation menyokong komuniti perniagaan, akademik dan saintifik dengan menyediakan khidmat pemudah cara, nasihat serta pembangunan ekosistem yang merangkumi aspek perniagaan, akses pasaran, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan, pembangunan modal insan, bantuan kewangan serta rangka kerja perundangan dan kawal selia, dengan sokongan kerajaan.
 
Antara program utamanya termasuk Status BioNexus, iaitu pengiktirafan rasmi kerajaan yang diberikan kepada syarikat bioteknologi yang berkelayakan. Pengiktirafan ini membolehkan syarikat berkenaan menikmati pelbagai khidmat sokongan dan insentif pertumbuhan perniagaan. Bioeconomy Corporation juga menawarkan program Bio-based Accelerator yang bertujuan membantu syarikat berasaskan bio yang sedang berkembang untuk mempercepat pertumbuhan dan mengkomersialkan inovasi mereka. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bioeconomycorporation.my.

SUMBER: Bioeconomy Corporation

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nur Akmar Yusoff
Eksekutif Kanan,
Komunikasi Strategik
Tel: +6012 690 6108
Emel: akmar.yusoff@bioeconomycorporation.my 

--BERNAMA
Back to Home