Penyelesaian Tenaga Hijau dan Berdaya Tahan Berteraskan AI oleh State Grid Zhejiang Electric Power Diketengahkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kompak Global PBB

Released on: Monday, 16 Nov 2026 4:41PM

Table
Pasukan projek membentangkan penyelesaian mereka pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kompak Global PBB. 

HANGZHOU, China, 16 Nov., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--

Sidang Kemuncak Pemimpin Kompak Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah berlangsung di New York pada 22 hingga 23 Sept. lalu, waktu tempatan. Dalam satu sesi yang bertemakan "Tindakan Bersama dan Perubahan Sistem", satu pasukan projek pembangunan mampan daripada State Grid Corporation dari China menyertai pasukan dari Britain, Ghana, Nigeria dan beberapa negara lain untuk mengetengahkan penyelesaian inovatif masing-masing. Sebagai satu-satunya wakil China dan antara lima pasukan terbaik dunia yang mara ke peringkat akhir, pasukan State Grid membentangkan penyelesaian mereka yang bertajuk "AI untuk Kebaikan: Mengejar Cahaya, Menjejaki Karbon" , dengan mendapat pengiktirafan tinggi daripada barisan juri dan peserta.

Program SDG Pemecut Inovasi bagi Profesional Muda merupakan satu inisiatif inovasi global yang dibangunkan oleh Kompak Global PBB untuk memperkasa golongan profesional muda di syarikat yang mengambil bahagian. Pada 2026, sebanyak 49 syarikat telah menyertai program berkenaan di China. Selepas muncul juara peringkat China, pasukan inovasi daripada State Grid Hangzhou Power Supply Company berjaya mara ke sesi pembentangan dalam talian peringkat global, bersaing dengan pasukan pemenang dari 22 buah negara dan wilayah. Pasukan itu akhirnya berjaya menduduki kelompok lima terbaik dunia, sekali gus memperoleh peluang untuk membentangkan penyelesaian mereka pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kompak Global PBB.

Ketua bagi Principles for Responsible Management Education (PRME) di Kompak Global PBB, David Steingard, berkata konsep projek itu amat cemerlang dan berpotensi diperluas pelaksanaannya. Beliau turut menegaskan bahawa bekalan tenaga yang stabil dan berterusan, selain keupayaan menjimatkan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon, merupakan keperluan mendesak bagi syarikat-syarikat utiliti grid elektrik di seluruh dunia.

Berpangkalan di Hangzhou, sebuah bandar yang terkenal dengan ekosistem inovasinya yang dinamik, pasukan di sebalik projek "AI untuk Kebaikan: Mengejar Cahaya, Menjejaki Karbon" memberikan tumpuan kepada dua cabaran utama yang dihadapi lebih 13,000 syarikat teknologi dan inovasi di bandar itu, iaitu memastikan bekalan tenaga yang stabil tanpa gangguan kepada pengeluar yang menggunakan peralatan berketepatan tinggi, serta menyediakan bekalan elektrik yang lebih bersih dan rendah karbon bagi membantu syarikat mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara.

"Hampir 80 peratus nilai ekonomi yang dijana daripada setiap kilowatt-jam elektrik di Hangzhou disumbangkan oleh kelompok industri yang berteraskan 'daya pengeluaran berkualiti baharu', termasuk syarikat kecerdasan buatan dan kecerdasan visual. Kebanyakan syarikat ini merupakan perusahaan kecil dan sederhana yang masih berada pada peringkat permulaan. Justeru, kami memutuskan untuk memanfaatkan AI bagi menjadikan sistem bekalan elektrik lebih pintar," kata anggota pasukan, Fang Xiang.

Pasukan inovasi itu memanfaatkan "Guangqing", iaitu ejen super AI untuk grid kuasa, bagi menganalisis rangkaian grid kuasa bagi sebuah bandar raya mega secara masa nyata. Berasaskan teknologi ini, mereka membangunkan sebuah pakej perkhidmatan AI yang disesuaikan khusus untuk syarikat teknologi, dengan menawarkan dua perkhidmatan secara percuma, iaitu Powertrace yang menjejaki laluan bekalan elektrik dan Carbonseek yang memantau pelepasan karbon sepanjang proses penggunaan tenaga. Kedua-duanya berfungsi seumpama sepasang "mata" – satu memantau bekalan elektrik, manakala satu lagi menjejaki pelepasan karbon.

Powertrace memberi tumpuan kepada pengesanan masalah di seluruh rangkaian grid kuasa. Sistem ini menjalankan penilaian masa nyata terhadap 9,517 talian penghantaran dan pengagihan elektrik serta 503 pencawang di seluruh Hangzhou. Keupayaannya membolehkan risiko yang boleh menjejaskan operasi sesebuah syarikat, termasuk ketidaknormalan grid, gangguan voltan dan beban berlebihan pada peralatan, dikenal pasti dalam masa beberapa saat. Sistem ini juga mampu menjana strategi pengagihan bekalan elektrik yang tepat dalam tempoh seminit, sekali gus menangani potensi masalah sebelum ia berkembang menjadi kerosakan atau gangguan bekalan.

Sistem itu membantu memastikan tahap kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada syarikat melebihi 99.999 peratus, manakala purata tempoh gangguan bekalan elektrik tahunan bagi setiap pelanggan telah dikurangkan kepada 3.15 minit, sekali gus mencapai tahap yang setanding dengan piawaian termaju dunia.

"Satu lagi 'mata' AI kami memberi tumpuan kepada pengesanan punca pelepasan karbon sesebuah syarikat, lokasi penggunaan tenaga serta kaedah untuk mengurangkan pelepasan tersebut," kata seorang lagi anggota pasukan, Wang Yi. Carbonseek berupaya mengira jumlah pelepasan karbon syarikat pemula niaga mengikut jam dan lokasi berdasarkan penggunaan elektrik mereka. Sistem ini turut membantu merangka pelan pengurangan pelepasan yang bersasar serta membolehkan pengeluar menjadualkan operasi pengeluaran ketika bekalan elektrik berada pada tahap paling bersih dan mempunyai keamatan karbon paling rendah.

Setakat ini, projek berkenaan telah menyediakan perkhidmatan kepada 56 syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi di Hangzhou dan membantu beberapa syarikat pembuatan pintar mengurangkan jejak karbon produk masing-masing sebanyak 6.6 peratus. Menjelang akhir tahun ini, pasukan itu menyasarkan untuk memperluas liputan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 10 peratus daripada syarikat pemula niaga teknologi di Hangzhou. Dalam tempoh setahun, mereka berhasrat memperluas perkhidmatan itu kepada 30,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh China. Untuk jangka panjang, pasukan itu berharap dapat membangunkan kit alat sumber terbuka bagi membolehkan penyelesaian berkenaan dikongsi dengan PKS di seluruh dunia.

Pengurus Kanan SDG Pemecut Inovasi di Kompak Global PBB, Bruna Elias, berkata penyelesaian itu berpotensi dimanfaatkan di luar China dan diperluas ke peringkat global. Beliau berharap pasukan berkenaan dapat menjalin kerjasama dengan lebih banyak rakan strategik dan pihak berkepentingan di seluruh dunia bagi memajukan inisiatif tersebut.

"Banyak kawasan di Afrika berdepan cabaran untuk mendapatkan bekalan tenaga hijau yang stabil. Projek anda menawarkan satu penyelesaian praktikal bagi menangani perubahan iklim. Kami berkongsi visi yang sama untuk membina sebuah masa depan yang lebih hijau dan berharap dapat meneroka peluang kerjasama bagi membawa teknologi ini ke Afrika serta rantau lain," kata Juliet Makafui Gbate daripada pasukan Ghana, yang turut membuat pembentangan bersama pasukan State Grid.

SUMBER: Hangzhou Power Supply Company, State Grid Zhejiang Electric Power Co., Ltd.

--BERNAMA 
Back to Home