BSN CARE SEKOLAH ANGKAT MADANI 2026 NAIK TARAF GIMNASIUM SMK BUKIT NENAS, SETIU, SOKONG PELAPIS ATLET NEGARA

Released on: Thursday, 12 Nov 2026 3:17PM

Table
Encik Mujibburrahman Abd Rashid, Ketua Eksekutif BSN (tiga dari kiri), Encik Mohamad Awang Teh, Pengetua SMK Bukit Nenas (tiga dari kanan) serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu bersama para pelajar SMK Bukit Nenas sewaktu sesi penyerahan cek cura BSN Care Sekolah Angkat MADANI 2026


TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) menyerahkan gimnasium yang telah dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, Setiu, Terengganu, sebuah sekolah yang telah melahirkan atlet muda negara bertaraf antarabangsa dalam pelbagai sukan, menerusi Program BSN Care Sekolah Angkat MADANI 2026 yang diadakan baru-baru ini.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan selamat, sekali gus menyokong pembelajaran teori serta latihan amali pelajar dalam mengembangkan potensi sukan mereka.

Seramai lebih 265 pelajar turut menerima jaket dan beg sukan sebagai suntikan semangat buat mereka, di samping diberi pendedahan menerusi Taklimat Literasi Kewangan untuk memupuk amalan menabung serta meningkatkan pemahaman pelajar mengenai pengurusan kewangan berhemah.

Ketua Eksekutif BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid berkata, sokongan terhadap institusi pendidikan merupakan sebahagian daripada komitmen BSN untuk memberi impak bermakna kepada komuniti, khususnya dalam menyokong perkembangan atlet muda yang berpotensi dan berdaya tahan.

“SMK Bukit Nenas membuktikan bahawa bakat sukan negara boleh lahir dari mana-mana pelosok jika diberi sokongan yang tepat. Kami berharap kemudahan yang ditambah baik ini dapat membantu pelajar meningkatkan prestasi latihan, manakala sumbangan jaket dan beg sukan dapat menyemarakkan semangat berpasukan dalam kalangan mereka.

“BSN percaya bahawa pembangunan generasi muda perlu diperkasa secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek akademik, malah melalui pembangunan bakat, kemahiran dan pengetahuan kewangan untuk masa hadapan mereka,” katanya.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Muhammad Zulkifli Abd Razak, alumni SMK Bukit Nenas yang juga merupakan atlet sepak takraw negara. Beliau berkongsi pengalaman mengenai kepentingan disiplin dan ketekunan sebagai inspirasi kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan di peringkat profesional.

Selain Zulkifli, antara atlet lain yang turut merupakan alumni SMK Bukit Nenas adalah Safawi Rasid dan Azam Azmi, pemain bola sepak kebangsaan serta Azreen Nabila Alias dan Ruslem Zikry Putra Roseli, atlet olahraga negara.

Program BSN Care Sekolah Angkat MADANI 2026 merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat BSN yang bertujuan membantu meningkatkan kemudahan dan kualiti persekitaran pembelajaran di sekolah terpilih. Inisiatif ini menyokong agenda Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negara dengan akses kepada kemudahan pendidikan yang berkualiti dan inklusif.

SUMBER: Bank Simpanan Nasional (BSN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Jabatan Komunikasi Strategik, BSN

Nama: Noorzuriaty Mohd Yazit
Tel: +6012 207 1134
E-mel: noorzuriaty@bsn.com.my

Nama: Syarifah Syameen Syed Johari
Tel: +6012 310 1766
E-mel: syameen@bsn.com.my

Nama: Awaina Arbee
Tel: +6019 904 6139
E-mel: awainaarbee@bsn.com.my

Nama: Hazwan Mokhtar
Tel: +6017 676 2239
E-mel: hazwanmokhtar@bsn.com.my

--BERNAMA
Back to Home