Dahlan bin Morni menerima Anugerah Tokoh Seni Gendang Melayu Sarawak sempena Festival Gendang Sarawak 2026KUCHING, Sarawak, 3 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching, telah menganjurkan Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 pada 29 Oktober hingga 1 November 2026 di Kuching Waterfront, bersempena dengan Sarawak Regatta – Kuching Waterfront Festival.
Bertemakan “Nadi Warisan Irama Tradisi”, Festival Gendang Sarawak 2026 mengetengahkan keunikan seni pergendangan sebagai tarikan serta usaha memartabatkan seni dan budaya Sarawak. Penganjuran festival ini turut memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara serta memperluas promosi seni budaya khususnya Sarawak.
Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2026 disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah binti Mohd Sanusi. Turut hadir YB Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri MTCP dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED); YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris Ketua Pengarah JKKN; YBhg. Datu Morshidi Fredrick Setiausaha Tetap MTCP; dan YBrs. Puan Noor Seela binti Noor Sulaiman, Pengarah JKKN Sarawak.
Majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan istimewa Nadi Borneo bertemakan “Dari Sungai Menyapa Dunia” yang menghimpunkan 88 artis dan peserta. Antara yang memeriahkan persembahan ialah Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Andrewson Ngalai, Rodriguez Wan, Haziq Rosebi, Syura, Kumpulan Kesenian JKKN, Kelab Kesenian dan Kebudayaan Iban Batang Rajang, Pergendangan Cina SMK Sungai Tapang dan SMK Green Road, Kumpulan Kasuma Tari, Persatuan Silat Banteng Betawi dan Tyng Tyng Dance Academy.
Pada malam yang sama, dua (2) penerima Anugerah Khas Gendang Melayu Sarawak turut diumumkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam seni pergendangan tradisional Sarawak. Anugerah Tokoh Seni Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Encik Dahlan bin Morni, manakala Anugerah Primadona Seh Gendang Melayu Sarawak diberikan kepada Puan Jemon binti Sitam.
Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026 yang berlangsung pada 30 Oktober 2026 menyaksikan Warih Melanau (Zon Sibu) muncul sebagai juara Kategori Bermukun Kumpulan, manakala Warisan Lenggok Berzaman (Zon Kuching) memenangi Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa. Kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa pula dimenangi oleh Dua Beranak (Zon Kuching), sementara Pewaris Telaga Air (Zon Kuching) dinobatkan sebagai juara Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200 Faks : 03-2697 0786
Website:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.myPlatform Media Sosial Rasmi JKKN:Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya atau @JKKN Sarawak Edisi Baru
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Muhammad Zahiruddin bin Dzolkipli
Penolong Pegawai Penerangan
Unit Komunikasi Korporat
E-mel: zahiruddin@jkkn.gov.my
Tel: 017-3004801
Nama: Nur Yusmarina binti Yusuf
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak
E-mel: yushyusuf@jkkn.gov.my
Tel: 018-9840503
--BERNAMA