Sebuah robot membuat persembahan muzik di Ekspo China-ASEAN di Nanning, Guangxi.
NANNING, China, 27 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/ --
Musim luruh membawa nafas baharu kepada usaha Nanning memperluas keterbukaannya kepada dunia. Sebagai ibu negeri bagi Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, Nanning baru sahaja menyaksikan berakhirnya Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN. Pada masa yang sama, Terusan Pinglu telah dibuka untuk pelayaran, manakala pelbagai projek baharu mula dilaksanakan di Pusat Kerjasama Aplikasi Kecerdasan Buatan China-ASEAN.
Sebagai antara pintu gerbang utama China bagi kerjasama dengan ASEAN, Nanning terus memperluaskan hubungan antarabangsanya menerusi pengukuhan platform kerjasama, peningkatan kesalinghubungan serta pembangunan berteraskan inovasi, sekali gus memainkan peranan yang semakin penting di dalam pertukaran dan kerjasama antara China dengan ASEAN.
Sebuah platform kerjasama untuk China-ASEAN
Sebagai bandar tuan rumah tetap CAEXPO, Nanning telah menghabiskan lebih dua dekad membangunkan apa yang dikenali sebagai “Saluran Nanning” — sebuah platform kerjasama yang menghubungkan China dan ASEAN secara berterusan dalam bidang dialog politik, perdagangan dan pelaburan, serta pertukaran rakyat antara kedua-dua pihak.
Pada CAEXPO ke-23, sebuah pasaran AI yang baharu dilancarkan mendapat perhatian ramai. Ruang pameran utama mengetengahkan teknologi termaju termasuk model AI berskala besar dan cip AI, selain produk yang disesuaikan dengan keperluan pasaran ASEAN seperti cermin mata pintar, robot pintar dan peranti pemulihan dan penjagaan.
Lebih 70 syarikat mempamerkan lebih 500 produk dalam lapan kategori, dengan menjanakan nilai urus niaga melebihi 28 juta yuan (kira-kira AS$3.9 juta). Sepanjang ekspo itu, Nanning turut menganjurkan satu siri sesi padanan perniagaan yang meliputi perdagangan digital, e-dagang rentas sempadan dan pembuatan pintar, sekali gus membantu pempamer menukar jaringan perniagaan kepada peluang perdagangan dan pelaburan.
Di Zon Komprehensif Berikat Nanning, produk khusus dari Asia Tenggara diedarkan ke seluruh China menerusi rangkaian e-dagang rentas sempadan. Dengan disokong hubungan perdagangan yang dibina menerusi CAEXPO, e-dagang rentas sempadan di Nanning terus berkembang, memudah cara aliran dua hala produk ASEAN ke China dan barangan keluaran China ke pasaran ASEAN.
Dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, jumlah perdagangan luar Nanning mencecah 65.171 bilion yuan, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Perdagangan dengan ASEAN berjumlah 18.246 bilion yuan, merangkumi 28 peratus daripada keseluruhan perdagangan bandar itu, manakala perdagangan dengan Vietnam meningkat 18.6 peratus.
Satu laluan air baharu menghubungkan kawasan pedalaman China dengan laut
Pembukaan Terusan Pinglu pada 16 Sept. telah menambah satu dimensi baharu kepada hubungan Nanning dengan kawasan pesisir dan laut.
Terusan berkenaan membolehkan kapal seberat sehingga 5,000 tan belayar terus dari Nanning ke Teluk Beibu. Bagi kargo dari barat daya China yang menuju ke laut, laluan itu menerusi Terusan Pinglu memendekkan perjalanan melalui laluan air pedalaman lebih 560 kilometer berbanding dengan laluan menerusi Pelabuhan Guangzhou.
Laluan air baharu itu mengukuhkan lagi peranan Nanning sebagai sebuah hab pengangkutan yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan pelabuhan di pesisir.
Bagi memanfaatkan peluang yang diwujudkan oleh pembukaan terusan itu, Nanning sedang merancang pembangunan industri di sepanjang Lingkaran Ekonomi Terusan Pinglu. Naik taraf Kawasan Operasi Bersama Balian di Zon Pelabuhan Liujing akan membolehkannya mengendalikan kapal seberat sehingga 5,000 tan, manakala pembinaan sebuah laluan kereta api khusus di Liujing sedang dipercepat bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan bersepadu rel-air.
Perkembangan ini turut mentransformasikan pelabuhan pedalaman berkenaan menjadi sebuah hab pengangkutan sungai-laut, sementara industri seperti logam bukan ferus, bahan kimia hijau dan pembuatan peralatan semakin berkembang di sepanjang terusan.
Kawasan Nanning dalam Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Guangxi) turut menjadi pemacu penting kepada perkembangan ini. Selaras dengan inisiatif seperti model “Dua Negara, Dua Taman” dan Zon Kerjasama Perindustrian China-ASEAN, Kawasan Nanning telah memperkenalkan 260 inovasi institusi, dengan 214 daripadanya merupakan amalan perintis yang julung kali dilaksanakan di peringkat nasional atau wilayah autonomi.
Kawasan itu terus meneroka pendekatan baharu dalam bidang seperti kewangan rentas sempadan dan perdagangan digital. Dengan digabungkan bersama pengurangan kos logistik hasil daripada hubungan yang semakin baik di antara Guangxi dan ASEAN, langkah-langkah tersebut membantu Nanning menarik pelaburan perindustrian serta membangunkan industri berorientasikan lapangan terbang dan industri berkaitan pelabuhan.
AI membuka ruang kerjasama baharu
Kecerdasan buatan kini muncul sebagai satu lagi bidang penting dalam kerjasama Nanning dengan ASEAN.
Di pusat pameran bagi Pusat Kerjasama Aplikasi Kecerdasan Buatan China-ASEAN di Daerah Baharu Wuxiang, pelbagai penyelesaian meliputi bandar pintar, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pertanian dipamerkan, sekali gus menarik delegasi dari negara-negara ASEAN untuk mengadakan lawatan serta perbincangan perniagaan.
Nanning sedang mengembangkan sebuah model pembangunan yang digambarkan sebagai “penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Beijing, Shanghai dan Kawasan Teluk Besar, penyepaduan di Guangxi, serta aplikasi di ASEAN”, dengan hasrat untuk menjadikan bandar itu sebagai sebuah hab kerjasama AI antarabangsa yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara.
ArcherMind Technology telah menubuhkan ibu pejabat ASEAN mereka di Nanning, dengan produk robot pintarnya kini memasuki pasaran termasuk Laos, Myanmar dan Vietnam serta digunakan di sekolah-sekolah di negara ASEAN. iFLYTEK pula telah menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik dengan Nanning bagi meneroka aplikasi AI untuk pasaran ASEAN dalam bidang termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan tadbir urus bandar.
Syarikat semikonduktor seperti Xinchen Semiconductor turut mengintegrasikan teknologi cip dengan aktiviti pengeluaran di Nanning, dengan aplikasinya yang merangkumi Internet Kenderaan dan Internet Benda.
Kini terdapat 1,552 perusahaan berkaitan AI di Nanning, dengan menyumbang 57.3 peratus daripada keseluruhan perusahaan AI di Guangxi.
Semasa CAEXPO ke-23, komuniti AI China-ASEAN di Nanning telah menganjurkan 37 siri jelajah dan padanan perniagaan serta mengemukakan 42 keperluan kerjasama bagi senario aplikasi AI di ASEAN. Hampir 100 perjanjian kerjasama awal telah dicapai, melibatkan nilai sekitar 2 bilion yuan, termasuk kerjasama yang dirancang bernilai lebih 1 bilion yuan dengan negara-negara ASEAN.
AI kini menjadi di antara identiti baharu Nanning dalam usaha memperluas keterbukaan, sekali gus mengembangkan skop kerjasama China-ASEAN daripada perdagangan dan pelaburan kepada teknologi digital dan aplikasi pintar.
Daripada “Saluran Nanning” yang telah lama menjadi penghubung, kepada peluang baharu hasil pembukaan Terusan Pinglu dan perkembangan pesat kecerdasan buatan, Nanning terus memperluas ruang keterbukaannya serta memperkukuh hubungan di antara pasaran China dengan pasaran antarabangsa.
Dengan platform kerjasama, rangkaian pengangkutan dan industri baharu yang semakin saling melengkapi, bandar itu berusaha memanfaatkan kedudukannya di barisan hadapan kerjasama China-ASEAN untuk mewujudkan lebih banyak peluang dalam perdagangan, pelaburan dan inovasi.
Sumber: ​Pusat Kerjasama Aplikasi Kecerdasan Buatan China-ASEAN
--BERNAMA