Dialog dengan BRICS – Persidangan Perdagangan dan Perlaburan Antarabangsa ShandongJINAN, China, 23 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--“Dialog dengan BRICS – Persidangan Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa Shandong” membuka tirainya pada Selasa di Jinan, ibu negeri Shandong di timur China, dengan menghimpunkan lebih 100 orang wakil perniagaan dari 30 buah negara dan wilayah, termasuk negara anggota BRICS serta negara rakan kongsi, untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan lebih 200 syarikat tempatan.
Persidangan itu, yang memasuki edisi ketiga, kini menjadi satu acara tetap dalam kalendar perniagaan Shandong. Sesi padanan perniagaan tahun ini, yang merangkumi lebih 500 pertemuan secara bersemuka, memberi tumpuan kepada sektor produk pertanian, industri hijau dan rendah karbon, jentera, bahan kimia berteknologi tinggi serta ekonomi digital.
Delegasi menerokai peluang kerjasama dalam pelbagai bidang. Ketua Misi Liga Negara-Negara Arab di Beijing, Ahmed Mustafa Fahmy Hafez, berkata negara-negara Arab sedang giat mempelbagaikan ekonomi masing-masing dan melihat potensi besar untuk bekerjasama dengan Shandong dalam empat bidang utama, iaitu peralihan kepada tenaga hijau, keselamatan pertanian dan makanan, infrastruktur serta ekonomi digital, selain inovasi dalam perdagangan dan kewangan. Kaunselor Menteri di Kedutaan Ethiopia di China, Nahom Berhanu Wendaferew, pula mengetengahkan potensi pelaburan negaranya dalam bidang pemprosesan hasil pertanian, farmaseutikal, tekstil serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam ucaptama beliau, Timbalan Pengarah bagi Pusat bagi China dan Globalisasi (CCG), Gao Zhikai, menyeru supaya kecerdasan buatan sumber terbuka serta kerjasama antarabangsa diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti dan memastikan manfaat bersama dapat dinikmati. Bekas Presiden bagi Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa, Zhao Zhongxiu, menggesa syarikat terkemuka Shandong supaya tidak lagi sekadar mengeksport barangan, sebaliknya membawa keseluruhan rantaian industri mereka ke pasaran luar negara melalui penyediaan perkhidmatan teknikal dan pembangunan bakat. Beliau menggariskan sektor pembuatan peralatan, tenaga hijau, pertanian moden dan ekonomi marin sebagai bidang keutamaan.
Kumpulan perniagaan dari Malaysia, Indonesia dan negara lain turut mengetengahkan peluang dalam bidang pembuatan pintar dan taman perindustrian, manakala institusi dari negara bukan anggota BRICS seperti Jerman, Serbia dan Kanada turut memanfaatkan platform berkenaan untuk memperluaskan jaringan kerjasama mereka. Menurut Kumpulan Meide, sebuah syarikat yang berpangkalan di Shandong, jumlah penghantarannya ke negara anggota BRICS dari 2024 hingga suku ketiga 2026 telah mencecah 1.676 bilion yuan (US$249 juta).
Dianjurkan oleh Majlis China bagi Penggalakan Perdagangan Antarabangsa (CCPIT) Cawangan Shandong, acara itu berlangsung ketika mekanisme BRICS terus berkembang dan diperkukuh, dengan negara-negara anggotanya kini mewakili kira-kira separuh daripada jumlah penduduk dunia, sekitar 30 peratus daripada KDNK global dan satu perlima daripada perdagangan dunia.
SUMBER: CCPIT Cawangan Shandong
--BERNAMA