Forum Liangzhu Ke-4 Dibuka di Hangzhou, Perkukuh Dialog Global Mengenai Warisan Budaya

Released on: Monday, 19 Oct 2026 4:50PM

HANGZHOU, China, 19 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/-- Musim luruh yang indah pada Oktober sekali lagi mengarahkan perhatian dunia kepada Liangzhu di Yuhang, Bandar Hangzhou di timur China, apabila Forum Liangzhu Ke-4 dibuka pada 18 Oktober, dengan menghimpunkan ratusan tetamu dari China dan luar negara untuk membincangkan secara mendalam tema “Menghubungkan Masa Lalu dengan Masa Depan: Memelihara Warisan Budaya untuk Zaman Kita.”

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-90 penemuan Tapak Liangzhu. Lebih 5,000 tahun lalu, masyarakat Liangzhu purba membina sebuah kota yang pesat berkembang di kawasan ini dan membangunkan sebuah tamadun penanaman padi yang unggul. Pada 2019, Tapak Arkeologi Kota Liangzhu telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia, sekali gus menjadi bukti nyata kewujudan tamadun China yang berusia 5,000 tahun.

Hari ini, tanah purba ini bukan lagi sekadar sebuah tapak penggalian arkeologi. Liangzhu telah berkembang menjadi satu ruang pertemuan yang membolehkan tamadun berbeza saling memahami, bertukar pandangan dan memperoleh inspirasi antara satu sama lain.

Dilancarkan pada 2023, Forum Liangzhu telah mempergiatkan dialog di antara tamadun China dengan negara-negara rakan Belt and Road. Berlandaskan pencapaian tiga edisi terdahulu, forum ini kini berkembang menjadi satu mekanisme tetap bertaraf nasional bagi menggalakkan pertukaran dan persefahaman antara tamadun.

Sehingga kini, forum tersebut telah menghimpunkan lebih 1,300 orang tetamu dari 115 buah negara dan wilayah di seluruh dunia, selain menghasilkan pelbagai pencapaian kerjasama, termasuk penyelidikan arkeologi bersama, penganjuran pameran artifak budaya secara timbal balik serta pertukaran kepakaran dalam pemuliharaan warisan. Platform dialog bertaraf nasional ini turut dimasukkan ke dalam rangka Pelan Lima Tahun ke-15 China pada tahun ini.

Menurut jawatankuasa penganjur, selain upacara pembukaan dan forum utama, edisi ke-4 turut menampilkan lima forum kecil serta lima acara sampingan. Agenda forum merangkumi pelbagai isu warisan budaya global yang menjadi perhatian ramai, termasuk arkeologi tamadun awal, pencalonan Warisan Dunia, pemuliharaan warisan berteraskan teknologi, pemulangan artifak budaya yang hilang serta pembangunan pelancongan lestari di tapak-tapak warisan.

Forum utama itu akan menampilkan ucapan dasar, majlis menandatangani perjanjian kerjasama antarabangsa serta pembentangan hasil utama penyelidikan mengenai asal usul tamadun di sepanjang Sungai Yangtze. Dalam forum kecil yang berlangsung serentak, kalangan cendekiawan akan menelusuri asal usul tamadun purba sambil membincangkan cabaran sebenar yang dihadapi pada masa kini. Perbincangan akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi baharu dalam perlindungan warisan, usaha mengembalikan artifak budaya yang hilang serta mencari keseimbangan di antara pemuliharaan warisan dengan pembangunan pelancongan.

Pertukaran bermakna tidak terhenti di dalam dewan persidangan. Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi menghidupkan sejarah tamadun purba agar dapat dilihat dan dihayati dengan lebih dekat. Seramai 25 artis dari 14 buah negara telah hadir ke Hangzhou untuk menghasilkan karya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian mereka di lapangan. Mereka mengunjungi tapak UNESCO termasuk Tapak Arkeologi Kota Liangzhu, Tasik Barat dan Terusan Besar, serta merakam pertemuan di antara pelbagai tamadun menerusi karya seni.

Sebuah pasar kreativiti budaya Liangzhu yang meriah pula menggabungkan kemahiran pertukangan tradisional dengan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membentuk satu rangkaian lengkap daripada sumber budaya kepada penghasilan produk kreatif. Sesi dialog belia turut diadakan, menghimpunkan duta asing ke China dan pakar-pakar untuk berkongsi pandangan dengan pelajar mengenai kepentingan saling belajar dan memahami antara tamadun.

Di luar rangkaian aktiviti forum, Koridor Budaya Liangzhu menggabungkan usaha pemeliharaan warisan ke dalam kehidupan seharian masyarakat. Banyak tapak Warisan Dunia berdepan dilema yang sering berlaku: perlindungan secara tertutup boleh menyebabkan tapak warisan menjadi “pulau budaya” yang terasing, manakala pembangunan berlebihan pula berisiko menjejaskan khazanah bersejarah.

Liangzhu telah meneroka pendekatan alternatif yang lebih berdaya maju. Berteraskan tinggalan kota purba, kawasan ini menghubungkan tapak bersejarah, pekan purba, kampung dan taman industri kreatif budaya. Sumber arkeologi dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan dan peningkatan pendapatan isi rumah, sekali gus mewujudkan kemajuan yang seiring di antara pemuliharaan warisan, pertumbuhan industri dan kesejahteraan masyarakat.

Di sini, warisan budaya bukan sekadar tinggalan yang dipamerkan di sebalik pagar. Motif jed cong purba diberi nafas baharu menerusi produk kreatif budaya, manakala teknologi realiti maya (VR) membawa pengunjung menyelami suasana kota yang berusia 5,000 tahun. Penduduk kampung berhampiran tapak warisan turut menikmati manfaat yang terhasil daripada pembangunan budaya.

Tamadun menjadi lebih berwarna melalui pertukaran dan diperkayakan melalui pembelajaran bersama. Berteraskan tanah yang menyimpan sejarah 5,000 tahun, Forum Liangzhu menyediakan wadah dialog yang terbuka dan setara kepada peserta dari seluruh dunia untuk menyingkap kembali asal usul bersama manusia pada zaman purba serta meneroka bagaimana warisan budaya dapat menghadapi cabaran dunia moden, agar kebijaksanaan tamadun yang diwarisi sejak sekian lama terus menerangi kehidupan masa kini dan membimbing masa depan.

Sumber: Jawatankuasa Penganjur bagi Forum Liangzhu Ke-4

--BERNAMA
Back to Home