AI Bertanggungjawab untuk Kanak-kanak: IEEE Memperkenalkan Formula Keselamatan Dipercayai bagi Membantu Melindungi Kanak-kanak dalam Talian

Released on: Friday, 16 Oct 2026 5:18PM

Dengan pendedahan kanak-kanak kepada AI yang semakin meningkat, pensijilan IEEE Standards Association membantu memastikan produk AI untuk kanak-kanak direka bentuk secara beretika, diuji secara bebas dan terus dipertanggungjawabkan terhadap aspek keselamatan serta kesejahteraan

Pensijilan produk pertama diberikan kepada platform pendidikan daripada Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Greece

PISCATAWAY, N.J., 16 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- IEEE Standards Association, organisasi pembangunan piawaian global berasaskan konsensus di bawah IEEE – organisasi profesional teknikal dan badan amal awam terbesar di dunia yang berdedikasi untuk memajukan teknologi demi manfaat manusia – hari ini memajukan lagi Program Pensijilan AI Bertanggungjawab untuk Kanak-kanak (RAIC) dengan pensijilan produk pertama bagi keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Seiring kanak-kanak semakin banyak berinteraksi dengan teknologi digital dan didayakan AI, ibu bapa, pendidik, pembangun dan pengawal selia memerlukan alat yang boleh dipercayai. Pensijilan AI Bertanggungjawab untuk Kanak-kanak (RAIC) IEEE menangani keperluan ini secara langsung dengan menterjemahkan piawaian teknikal global kepada penilaian praktikal bagi reka bentuk yang bersesuaian dengan usia dan keselamatan kanak-kanak – membantu organisasi mengutamakan nilai, hak dan kesejahteraan kanak-kanak dalam produk serta perkhidmatan digital mereka. 

“Apabila AI semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kanak-kanak, tanggungjawab kami sebagai pemimpin teknologi tidak pernah sebesar ini,” kata Mary Ellen Randall, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IEEE 2026. “Kita perlu membantu memastikan sistem AI yang dibangunkan untuk kanak-kanak mengutamakan pengalaman yang selamat dan menyokong. Program pensijilan ini memberikan kelebihan daya saing kepada organisasi dalam menunjukkan bahawa produk didayakan AI mereka, seperti mainan pintar, permainan dalam talian dan penyelesaian pendidikan, menyokong kesejahteraan kanak-kanak serta membantu meraih kepercayaan keluarga dan pendidik.”

Program Pensijilan IEEE Berteraskan Kepercayaan Membantu Menjadikan AI Lebih Selamat untuk Kanak-kanak

Pensijilan RAIC oleh IEEE Standards Association bermaksud sesuatu produk AI untuk kanak-kanak – sama ada mainan pintar, aplikasi pembelajaran atau platform bimbingan – telah diuji dan disahkan secara bebas bagi memenuhi keperluan keselamatan dan etika yang jelas. Dengan menyelaraskan amalan reka bentuk dan penilaian, program ini menyokong syarikat teknologi, institusi awam dan organisasi pendidikan dalam membangunkan produk digital yang lebih boleh dipercayai untuk kanak-kanak.

· Keperluan reka bentuk: Organisasi mesti sejak awal pembangunan mereka bentuk produk dengan perlindungan privasi berasaskan piawaian, had kandungan yang bersesuaian dengan usia serta perlindungan hak kanak-kanak sebagaimana ditakrifkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak, bukannya menambah perlindungan tersebut kemudian.

· Ujian bebas: Penilai yang diakreditasi oleh IEEE menilai produk siap berdasarkan keperluan RAIC sebelum pensijilan diberikan, serupa dengan cara sesuatu label keselamatan diperoleh bagi mainan fizikal.

· Kebertanggungjawaban berterusan: Organisasi yang diperakui mesti terus menunjukkan pematuhan apabila produk berubah, bukannya hanya melalui satu semakan statik sekali sahaja.

“Kanak-kanak membentuk sebahagian besar dunia dalam talian masa kini, namun terlalu kerap keperluan mereka hanya dipertimbangkan selepas sesuatu teknologi direka bentuk,” kata Sophia A. Muirhead, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi IEEE.

“Sebagai sebuah masyarakat, tumpuan kita mestilah untuk membina unsur kepercayaan dan keselamatan secara langsung ke dalam alat yang digunakan oleh kanak-kanak setiap hari. Untuk mencapai matlamat itu, kita memerlukan piawaian reka bentuk bersesuaian dengan usia yang disahkan secara bebas, seperti pensijilan AI Bertanggungjawab untuk Kanak-kanak, bagi membantu melindungi pengguna muda daripada bahaya sambil membolehkan mereka menikmati pelbagai manfaat teknologi.” 

Program pensijilan IEEE memanfaatkan rangkaian global makmal ujian dan penilai bebas untuk membantu memastikan peranti dan sistem yang berfokuskan kanak-kanak memenuhi piawaian yang diiktiraf bagi keselamatan dan kebolehpercayaan. Program ini merupakan peluasan daripada CertifAIEd™, program AI beretika IEEE yang diiktiraf di peringkat global, dan menghubungkan dua piawaian teras IEEE: IEEE 2089™, yang menetapkan keperluan bagi perkhidmatan digital bersesuaian dengan usia, dan IEEE 7000™, yang menyediakan panduan bagi reka bentuk sistem beretika.

Pensijilan Produk Pertama Diberikan kepada NCSR Demokritos untuk d-AI-logue

IEEE Standards Association turut mengumumkan bahawa produk pertama yang menerima pensijilan ialah d-AI-logue, sebuah platform pendidikan inovatif berkuasa AI yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan (NCSR) ‘Demokritos’ di Greece. Platform ini menggunakan dialog Socratic, iaitu kaedah pengajaran yang menumpukan pada soalan berpandu berbanding memberikan jawapan secara langsung, bagi membantu pelajar menilai maklumat secara bebas.

Pensijilan tersebut memberikan jaminan bebas kepada pendidik, sekolah, kementerian dan ibu bapa di Greece bahawa produk itu telah dinilai berdasarkan kriteria yang ketat bagi penggunaan oleh kanak-kanak, sekali gus menyokong kepercayaan dan penerimaan pakai yang lebih luas ketika platform tersebut diperluas kepada projek perintis bilik darjah dan program pendidikan.

“Di NCSR Demokritos, kami percaya bahawa sistem AI boleh memainkan peranan transformatif dalam pendidikan, tetapi hanya apabila sistem tersebut dibangunkan dan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” kata Dr. Georgios Petasis, Penyelidik dan Penyelaras d-AI-logue, NCSR ‘Demokritos’. “Kami mendapatkan pensijilan IEEE CertifAIEd Responsible AI for Children kerana pengesahan bebas amat penting apabila membangunkan sistem AI yang ditujukan untuk kanak-kanak. Pensijilan ini menunjukkan komitmen kami terhadap kepercayaan, ketelusan, pengawasan manusia dan integriti pendidikan, di samping memberikan keyakinan kepada pendidik, pembuat dasar dan ibu bapa bahawa d-AI-logue telah direka dengan kepentingan terbaik pelajar sebagai terasnya.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Pensijilan AI Bertanggungjawab untuk Kanak-kanak (RAIC) atau memohon penilaian produk, sila layari https://ieeesa.io/raic.

Maklumat tentang IEEE Standards Association

IEEE Standards Association (IEEE SA) ialah organisasi penetapan piawaian global terkemuka yang memajukan teknologi demi manfaat manusia. Menerusi proses terbuka berasaskan konsensus, IEEE SA menghimpunkan pakar daripada industri, kerajaan, akademia dan masyarakat sivil untuk membangunkan piawaian yang diterima pakai di peringkat global, memupuk inkubasi teknologi prapiawaian, penilaian pematuhan, latihan dan kerjasama dengan kerajaan yang menangani cabaran sosioteknikal, menyokong kesejahteraan kanak-kanak dan keselamatan digital, serta memupuk kepercayaan terhadap teknologi baharu. Menerusi piawaian, kerjasama dan inovasi, IEEE SA membantu membentuk dunia yang lebih selamat, lebih mampan dan lebih saksama.

Maklumat tentang IEEE

IEEE ialah organisasi profesional teknikal terbesar di dunia dan sebuah badan amal awam yang berdedikasi untuk memajukan teknologi demi manfaat manusia. Menerusi penerbitannya yang banyak dipetik, persidangan, piawaian teknologi serta aktiviti profesional dan pendidikan, IEEE merupakan suara yang dipercayai dalam pelbagai bidang, daripada piawaian global, sistem aeroangkasa, komputer dan telekomunikasi hingga ke kejuruteraan bioperubatan, tenaga elektrik dan elektronik pengguna. Ketahui lebih lanjut di https://www.ieee.org.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Contacts

Hubungan Media

Ravi Subramanian
+1-240-470-0251
r.subramaniam@ieee.org

Donna Ceruto
+1-732-427-3829
d.ceruto@ieee.org

Sumber: IEEE Standards Association

--BERNAMA 
Back to Home