Kapasiti Pengeluaran Syarikat Kejuruteraan Bumiputera Meningkat 164%

Released on: Wednesday, 14 Oct 2026 3:16PM


SIRIM tembusi rantaian bekalan automotif, aeroangkasa, peranti perubatan dan rel, menjana RM292.4 juta nilai ditambah kasar

SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Sebanyak 88 peratus daripada syarikat kejuruteraan Bumiputera yang menyertai program perkakas jitu (precision tools) SIRIM Berhad mencatat peningkatan purata 164% dalam kapasiti pengeluaran maksimum dan menyumbang RM292.4 juta nilai ditambah kasar kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2024. Dalam tempoh yang sama, 77% daripada mereka berjaya memendekkan tempoh penyiapan pesanan keseluruhan, dengan purata pengurangan sebanyak 29 peratus.

Keputusan itu diperoleh daripada program Tools, Dies and Moulds (TDM) 2.0, yang dilaksanakan antara tahun 2022 hingga 2024 dengan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi memperkukuh keupayaan syarikat berasaskan perkakas, dai dan acuan serta pemesinan.

Penilaian impak bebas oleh PwC mendapati program itu mencapai hasil yang disasarkan, dengan syarikat penerima manfaat mencatat penambahbaikan dalam kapasiti pengeluaran, tempoh penyiapan pesanan, inovasi produk, perluasan pasaran, sumbangan cukai dan nilai ditambah kasar.

Manfaat program turut kelihatan dari segi pasaran:
· 77% syarikat memperoleh pelanggan baharu
· 70% syarikat memperkenalkan barisan produk baharu
· 40% syarikat meluaskan operasi ke pasaran luar negara
· Separuh daripada syarikat (50%) mengambil lebih ramai pekerja teknikal selepas menyertai program

Program ini juga telah mengembalikan nilai kepada negara. Antara 2021 hingga 2024, penerima manfaat telah menjana RM23.9 juta hasil cukai. Ini bersamaan peningkatan sebanyak 27.7% setiap tahun, iaitu RM260,000 secara purata untuk setiap syarikat bagi setiap tahun. Nilai ditambah kasar pula meningkat 8.7% setahun, manakala kos kakitangan dan pampasan pekerja naik pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 8.4%, mencerminkan pertambahan bilangan pekerja dan gaji yang lebih baik.

TDM 2.0 adalah sambungan daripada program TDM 1.0 (2009-2019) yang membantu 15 syarikat Bumiputera dalam sektor automotif sahaja. Fasa kedua meluaskan skop kepada aeroangkasa, peranti perubatan dan rel. Menjelang 2025, sebanyak 46 syarikat berdaftar sebagai penerima manfaat, iaitu 27 dalam automotif, 10 dalam peranti perubatan, lima dalam rel dan empat dalam aeroangkasa.
 
Sektor yang disasarkan sejajar dengan keutamaan negara. Sektor aeroangkasa, elektrik dan elektronik, kimia, serta peranti perubatan merupakan antara sektor fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Sementara itu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menyasarkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan tumpuan kepada industri bernilai tinggi, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan peningkatan produktiviti dan daya saing negara, tumpuan yang disokong secara langsung oleh program TDM 2.0. SIRIM bekerjasama dengan kementerian, badan kawal selia dan penggubal dasar bagi memastikan keupayaan yang diperlukan tersedia apabila syarikat Malaysia memerlukannya.

Penemuan daripada TDM 2.0 turut dijadikan input kepada aspirasi jangka panjang NPT bagi tempoh RMK-13 (2026 sehingga 2030, iaitu memperkukuh eksosistem yang lebih menyeluruh, selaras dengan NIMP 2030 dan PUTERA35.

Pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Projek TDM 2.0 pada 18 September lalu, Projek NEW TDM yang akan dilancarkan pada Oktober dijangka menarik lebih banyak syarikat tempatan menyertai program transformasi digital dan pembangunan keupayaan.

Inisiatif itu menjadi kesinambungan kepada pencapaian TDM 2.0, dengan tumpuan diberikan kepada kejuruteraan bernilai tinggi, khususnya reka bentuk tiga dimensi, yang disokong teknologi kejuruteraan digital moden termasuk kecerdasan buatan.

MENGENAI SIRIM BERHAD
 
SIRIM Berhad (SIRIM) ialah institusi nasional Malaysia bagi kualiti, teknologi dan penyelidikan perindustrian. Sebagai rakan inovasi yang dipercayai, SIRIM telah berada di tengah-tengah pembangunan perindustrian negara selama lebih lima dekad. Dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan beroperasi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), SIRIM merupakan pemangkin kepada penstrukturan semula sektor perindustrian negara, sekali gus memacu hasrat Ekonomi MADANI dan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
 
Dengan bekerjasama rapat bersama kerajaan dan industri, SIRIM membantu perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, berinovasi, mendapatkan akses pasaran serta meluaskan operasi ke luar negara. Melalui keupayaan bersepadunya dalam pengujian, pensijilan, pemeriksaan, penyelidikan gunaan dan latihan profesional berasaskan piawaian, SIRIM menyediakan asas teknikal yang diperlukan perniagaan untuk berkembang, bersaing di peringkat antarabangsa dan memenuhi tuntutan ekonomi global yang berubah dengan pantas. Untuk maklumat lanjut, layari www.sirim.my.

Untuk berita terkini, ikuti akaun media sosial SIRIM Berhad::  
Facebook 
Instagram 
LinkedIn 
TikTok 
YouTube 

SUMBER: SIRIM Berhad (SIRIM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohamad Ariff Fahmy
Tel: 017 4637027 
E-mel: fahmy@sirim.my    

--BERNAMA
Back to Home