Tarian Pelanduk antara tarikan Majlis Perasmian Temasya Orang Pahang 2026BENTONG, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang telah menganjurkan Temasya Orang Pahang 2026 (TOP) pada 9 hingga 11 Oktober 2026 di Dataran Bentong, Pahang. TOP merupakan salah satu daripada 15 Program Pelancongan Budaya yang dilaksanakan bagi memperkenalkan keunikan seni, budaya dan produk tempatan.
Majlis Perasmian TOP 2026 telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang mewakili YAB Menteri Besar Pahang. Turut hadir YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC; YB Puan Leong Yu Man, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang; YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN; dan YH Dato' Mohammad Shahid bin Ismail, Pegawai Daerah Bentong.
Majlis Perasmian TOP 2026 turut menampilkan persembahan khas bertajuk “Menyelusuri Warisan Pahang” yang menghimpunkan 174 penggiat seni dan peserta persembahan. Pementasan berbentuk teaterikal muzikal ini membawa penonton menelusuri sejarah kegemilangan Pahang, bermula daripada era tamadun awal Inderapura hingga dikenali sebagai Pahang Darul Makmur. Persembahan ini turut mengetengahkan keunikan seni budaya negeri menerusi tarian tradisional seperti Tarian Labi-Labi, Tarian Piring Pahang dan Tarian Orang Asli Jahut.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Perkampungan Budaya telah menghimpunkan keunikan 11 daerah di Pahang, meliputi Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh. Pelbagai khazanah seni, budaya dan produk tempatan diketengahkan, antaranya Gendang Pahang, silat, permainan tradisional dan Tenun Pahang Diraja. Kepelbagaian warisan negeri turut ditampilkan menerusi makanan tradisional seperti asam rong, gulai patin tempoyak dan sambal hitam yang mencerminkan identiti serta keistimewaan Pahang.
Sebanyak 12 pertandingan turut diadakan antaranya Memasak Asam Rong, Mencari Puspawangi Pahang, Mencari Sudirman, Pertandingan Tarian Gamelan, Peragaan Busana Tradisional Pahang, Qasidah dan Rentak Tari Pahang. Program turut dimeriahkan dengan penganjuran
Food Fighter Fest,
Fun Run dan Senam Seni 2.0 bersempena dengan Hari Sukan Negara.
Selain itu, pelbagai perkhidmatan dan aktiviti interaktif disediakan menerusi reruai agensi Kerajaan, antaranya saringan kesihatan dan pergigian, semakan serta pembayaran saman, demonstrasi kebakaran, Jualan Rahmah dan Agro MADANI.
Pejabat Daerah dan Tanah Rompin turut mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai pemenang Perkampungan Budaya Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.00.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.my Platform Media Sosial Rasmi JKKN:Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Muhammad Zahiruddin bin Dzolkipli
Penolong Pegawai Penerangan
Unit Komunikasi Korporat
E-mel: zahiruddin@jkkn.gov.my
Tel: 017-3004801
Nama: Nur Ayzlinda binti Abu Bakar
Jawatankuasa Promosi & Penajaan Temasya Orang Pahang
E-mel: ayzlinda@jkkn.gov.my
Tel: 09 517 8466 / 012-9535300
--BERNAMA