Datuk Bandar Changchun Gu Gang (kanan) and presiden FISU Leonz Eder memegang obor daripada Sukan Universiti Dunia pertama yang berlangsung di Turin pada 1959 ketika majlis pengambilan api bagi Universiade Musim Sejuk Changchun 2027 di Turin, Itali, 8 Okt., 2026.
TURIN, Itali, 9 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--
Obor api Universiade Musim Sejuk Changchun 2027 telah dinyalakan di Turin, Itali pada Khamis, menandakan satu lagi detik penting dalam persiapan menjelang Sukan Universiti Dunia Musim Sejuk ke-33 yang akan berlangsung di Wilayah Jilin, di timur laut China, pada Januari 2027.
Majlis penyalaan api tersebut berlangsung di Universiti Turin. Datuk Bandar Changchun, Gu Gang, bersama dengan Presiden Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU), Leonz Eder, bersama-sama menyalakan kawah api dengan menggunakan obor daripada Universiade sulung yang diadakan di Turin pada 1959, sebelum api tersebut dipindahkan ke tanglung khas untuk Universiade Musim Sejuk Changchun 2027.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan tayangan video promosi temasya itu, lagu kebangsaan China dan Itali serta persembahan yang mengetengahkan identiti bandar Changchun dan warisan budaya China. Antaranya termasuk satu tarian yang mendapat inspirasi daripada kristal ais serta persembahan bercirikan tradisional China yang mengangkat keindahan landskap musim sejuk di utara China.
Gu, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi temasya sukan itu, berkata majlis pengumpulan api itu menjadi wadah yang menghubungkan pertukaran budaya di antara Timur dan Barat, manakala sukan musim sejuk pula dapat menyemai persefahaman dan persahabatan dalam kalangan golongan muda dari pelbagai negara dan wilayah.
Selesai majlis itu, api tersebut dibawa menyusuri bandar Turin, melalui Muzium Mesir dan Murazzi del Po sebelum tiba di Castello del Valentino, yang merupakan ibu pejabat bersejarah bagi Politeknik Universiti Turin. Antara pembawa obor ialah Presiden FISU Leonz Eder, Rektor Universiti Turin Cristina Prandi dan Timbalan Rektor Politeknik Universiti Turin Elena Maria Baralis. Tanglung api itu kemudiannya ditempatkan di lokasi simpanan yang selamat.
Menurut jawatankuasa eksekutif temasya sukan itu, satu majlis sambutan ketibaan api dijadualkan berlangsung di Changchun pada 14 Okt.
Universiade Musim Sejuk Changchun 2027 akan berlangsung dari 15 hingga 25 Januari 2027, dengan Changchun dan bandar jirannya, Jilin, menjadi tuan rumah bersama bagi acara sukan ais dan salji. Sebanyak 97 acara dalam 12 jenis sukan akan dipertandingkan, termasuk disiplin baharu larian merentas desa musim sejuk.
Turin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah Universiade. Bandar itu menjadi tuan rumah Universiade Musim Panas sulung pada 1959 dan sejak itu menjadi lokasi tetap bagi penyimpanan "Api Pengetahuan" FISU. Sejak 2018, bandar-bandar yang menjadi tuan rumah Universiade akan berkunjung ke Turin untuk mengambil api tersebut sebelum membawanya pulang ke lokasi temasya sukan masing-masing.
Universiade Musim Sejuk 2027 bakal menandakan kepulangan temasya itu ke China selepas Harbin menjadi tuan rumah edisi musim sejuk pada 2009. Persiapan di Changchun dan Jilin kini giat dijalankan, dengan kerja-kerja menaik taraf dan menyediakan tempat pertandingan, operasi temasya serta pelbagai kemudahan dan perkhidmatan sokongan.
Dalam wawancara dengan Xinhua baru-baru ini, Leonz Eder berkata persiapan berjalan lancar dan berharap Universiade Changchun 2027 dapat menarik penyertaan jumlah kontinjen yang terbesar dalam sejarah temasya tersebut.
SUMBER: The Executive Committee of the Changchun 2027 Winter Universiade
--BERNAMA