CRM Lancar Dana RM250,000 bagi Memperkasa Penyelidikan Klinikal Diterajui Penyelidik di Malaysia

Released on: Thursday, 01 Oct 2026 4:32PM


KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Clinical Research Malaysia (CRM), sebuah syarikat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah melancarkan Dana Endowmen Penyelidikan CRM berjumlah RM250,000. Inisiatif baharu yang diterajui CRM ini bertujuan memajukan penyelidikan klinikal yang dibangunkan oleh penyelidik di Malaysia serta membantu kajian yang berpotensi memberikan manfaat bermakna kepada pesakit dan sistem penjagaan kesihatan negara.

Dana ini memperluas peranan CRM dalam ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia, melangkaui sokongan sedia adanya terhadap kajian yang ditaja oleh industri. Dengan menyediakan saluran pembiayaan khusus untuk penyelidikan yang dicetuskan dan diketuai oleh penyelidik, CRM memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan infrastruktur, keupayaan dan tenaga kerja penyelidikan negara.

Dana ini akan menyokong keperluan penting yang mungkin tidak diliputi oleh geran penyelidikan konvensional dan boleh menghalang idea yang baik daripada diteruskan. Keperluan tersebut termasuk operasi kajian, pematuhan regulatori, serta penerbitan dan penyebaran penyelidikan.

“Malaysia mempunyai para penyelidik yang berkebolehan serta institusi-institusi penyelidikan yang kukuh. Namun, merit saintifik sahaja tidak mencukupi untuk membawa sesuatu kajian daripada peringkat konsep hingga selesai. Penyelidik juga memerlukan sokongan praktikal untuk mengurus keperluan operasi, kawal selia dan penerbitan bagi menjalankan penyelidikan klinikal yang berkualiti tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.

“Melalui dana ini, CRM mengambil peranan yang lebih langsung dalam menyokong penyelidikan yang dimulakan oleh penyelidik. Dengan menangani jurang pembiayaan dan halangan praktikal yang kritikal, kami berhasrat membantu kajian yang berpotensi untuk terus berkembang, disiapkan dan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada pesakit serta sistem penjagaan kesihatan,” tambah beliau.

Memperkukuh Pelaburan CRM Sepanjang Laluan Penyelidikan
 
Dana Endowmen Penyelidikan CRM dibangunkan berasaskan pelaburan berterusan organisasi itu dalam ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia, khususnya dalam landskap penyelidikan KKM.

Sejak mencapai tahap pembiayaan kendiri pada 2018, CRM telah melabur lebih RM10 juta dalam pembangunan keupayaan dan kapasiti penyelidikan klinikal KKM. Kira-kira 40% daripada pelaburan ini disalurkan untuk menyokong infrastruktur penyelidikan fasa awal Malaysia menerusi Projek Realisasi Kajian Klinikal Fasa 1 (P1RP). Usaha ini memperkukuh keupayaan negara untuk menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi sejak peringkat terawal, termasuk kajian pertama ke atas manusia (First-in-Human).

CRM juga telah melabur dalam pembangunan penyelidik KKM, keupayaan kawal selia dan kesiapsiagaan pusat kajian, sekali gus mewujudkan laluan yang lebih kukuh bagi inovasi penjagaan kesihatan tempatan untuk berkembang ke peringkat penyelidikan klinikal.

Dana baharu ini memperluas sokongan tersebut ke satu lagi peringkat penting dalam laluan penyelidikan. Dengan membantu penyelidik menjalankan kajian dan menerbitkan dapatan mereka, CRM berhasrat memperkukuh sumbangan penyelidikan yang diterajui secara tempatan kepada perancangan, dasar dan pembangunan penjagaan kesihatan pada masa hadapan.

Dana Endowmen Penyelidikan CRM terbuka kepada penyelidik yang bergabung dengan KKM dan terlibat dalam penyelidikan klinikal. Dana ini akan ditadbir melalui mekanisme tadbir urus dan pengawasan yang jelas, dengan Institut Penyelidikan Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia, bertindak sebagai badan penyelaras.

Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM)

SUMBER: Clinical Research Malaysia (CRM)   

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

Nama: Sufea Salehuddin
Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat      
Tel : +603-7931 5566 (ext. 125) | M : +6011-11202702    
E-mel: sufea.irdina@clinicalresearch.my 

--BERNAMA



 
Back to Home