PROGRAM LAWATAN MEDIA CUTI-CUTI MALAYSIA SURREAL EXPERIENCES: PERLIS BUKAN SEKADAR TRANSIT SEMPENA KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2026–2027 (VM2026–2027)

Released on: Friday, 25 Sep 2026 2:28PM


KANGAR, 25 Sept (Bernama) -- Tourism Malaysia terus memperhebat usaha mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pengalaman unik menerusi Program Lawatan Media Cuti-Cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis yang berlangsung dari 22 hingga 25 September 2026. Program ini memberi peluang kepada wakil media untuk meneroka sendiri keunikan negeri Perlis yang kaya dengan tarikan alam semula jadi, warisan, budaya, dan gastronomi.

Program ini dianjurkan bagi memperkukuh penjenamaan destinasi domestik yang berpotensi tinggi, selain meningkatkan nilai publisiti dan kesedaran awam terhadap kepelbagaian produk pelancongan tempatan. Langkah ini sekali gus menyokong usaha memperkemas promosi pelancongan domestik bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
 
YBrs. Puan Yasmin Faezah Samsudin, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia berkata “Perlis bukan lagi sekadar laluan transit, sebaliknya sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan lengkap merangkumi alam semula jadi, warisan, budaya, dan gastronomi. Tourism Malaysia komited untuk memperkukuh penjenamaan Perlis sebagai hab pelancongan utara yang mampu meningkatkan tempoh penginapan pelawat serta menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa.”
 
Beliau menambah bahawa kedudukan strategik Perlis sebagai pintu masuk utara negara dan sempadan Malaysia-Thailand memberikan kelebihan besar untuk negeri ini berkembang sebagai destinasi persinggahan utama dalam laluan pelancongan serantau.
 
Sepanjang empat hari program berlangsung, para peserta dibawa melawat ke pelbagai produk dan tarikan pelancongan utama di negeri Perlis, termasuk Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Kangar Heritage Walk, Terowong Kampung Wai (Y), Wang Kelian Viewpoint, Masjid Alwi, Stesen Penyelidikan FRIM Mata Ayer, Muzium Kota Kayang dan Padang Besar Street.
 
Selain mengetengahkan keindahan alam semula jadi, warisan dan budaya negeri, program ini turut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai produk pelancongan berasaskan komuniti serta perusahaan tempatan menerusi kunjungan ke Mokti’s Ice Cream, Saad Capal dan HM Belacan, di samping pengalaman di Kampung Warna-Warni dan Nipah Klasik. Pengalaman tersebut memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan produk, hasil tangan dan perusahaan tempatan yang menjadi sebahagian daripada identiti pelancongan negeri Perlis.
 
Peserta turut berpeluang menikmati pengalaman gastronomi autentik Perlis menerusi pelbagai hidangan ikonik dan makanan warisan negeri, antaranya laksa Perlis, jagung ngoi nyok, ubi kayu rebus sambal, ketupat palas, kari ayam, bihun goreng kuah laksa dan kuih loyang. Kepelbagaian sajian ini turut mengetengahkan kekayaan cita rasa tempatan sebagai salah satu tarikan pelancongan yang berpotensi diketengahkan kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
 
Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan sebanyak 74.7 juta pelawat domestik bagi suku pertama tahun 2026, iaitu peningkatan sebanyak 7.2 peratus berbanding 69.7 juta pelawat bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.
 
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, Perlis mencatatkan jumlah keseluruhan pelawat domestik sebanyak 3.7 juta orang pada tahun 2025 berbanding 3.2 juta orang pada tahun 2024. Lima destinasi yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik ialah Arked Niaga Padang Besar, Wang Kelian Viewpoint, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Padang Waremart dan Medan Ikan Bakar Kuala Perlis.
 
Hadir sama pada majlis penghargaan dan penutup program ini ialah YBrs. Encik Abdul Hadi Che Man, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara. Beliau dalam ucapannya berkata, “Destinasi kebanggaan di negeri Perlis memberikan peluang kepada para peserta untuk merasai sendiri keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan, termasuk pengalaman meneroka Terowong Kampung Wai (Y), menikmati keindahan matahari terbit di Wang Kelian Viewpoint serta mengunjungi beberapa produk dan perusahaan tempatan seperti perusahaan belacan dan pembuatan capal.
 
Tambah beliau lagi, “Selain itu, destinasi ekopelancongan seperti Gua Kelam turut mengetengahkan keunikan alam semula jadi dan warisan geologi negeri Perlis. Pengalaman secara langsung ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada para peserta untuk menghasilkan kandungan media yang kreatif, autentik dan berimpak tinggi, sekali gus memperkenalkan keunikan Perlis kepada khalayak yang lebih luas serta menyokong matlamat Kempen VM2026–2027.”
 
Melalui pendedahan yang diberikan kepada media, Tourism Malaysia berharap lebih ramai pelancong akan memilih untuk melanjutkan tempoh perjalanan di Perlis bagi menikmati pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan. Inisiatif ini dijangka menyumbang kepada peningkatan pergerakan pelancongan domestik, memperkukuh ekonomi tempatan serta mengangkat Perlis sebagai antara destinasi pelancongan yang wajar diterokai sempena VM2026-2027. 

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada kit media yang disediakan:
https://drive.google.com/drive/folders/1kZVbc-GbCclJppAbzE1DXt2lm4xfnolg?usp=drive_link 

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.
 
Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri.
 
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

SUMBER: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775 
E-mel: norshariza@tourism.gov.my 

Nama: Nur Anis Afiqah ShahRizal
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel:  +603 8891 8792 
E-mel: nuranis@tourism.gov.my

--BERNAMA

 
Back to Home