KULIM, Kedah, 22 Sept (Bernama) -- Baru-baru ini Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM869,806.58 daripada Maybank Islamic Berhad bagi melaksanakan empat inisiatif pembangunan asnaf di Kedah yang merangkumi modal perniagaan, latihan kemahiran teknologi pembuatan, pusat agihan makanan serta penyediaan mesin jahitan.
Penyerahan peruntukan itu disempurnakan bersempena Majlis Perasmian Projek Pembangunan Asnaf melalui Wakalah Agihan Zakat Maybank Islamic Berhad dengan kerjasama LZNK yang berlangsung di Grand Ballroom, Kulim Golf & Country Resort, Kulim pada 10 September 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah, berkata komitmen pihaknya dalam pembangunan asnaf bukan sekadar melalui bantuan kewangan, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan, peluang serta pendedahan yang mampu membantu golongan asnaf mengubah taraf kehidupan mereka.
“Sebagai badan korporat dan institusi perbankan Islam, Maybank Islamic komited dalam usaha kami untuk memajukan dan membantu golongan asnaf dengan memberi peluang dan pendedahan kepada mereka mengenai mekanisme terbaik untuk mengubah kehidupan mereka.
Bagi mencapai matlamat ini, kami telah merangka pelbagai program tanggungjawab sosial korporat, terutamanya dalam menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh cawangan Kumpulan Maybank dan bekerjasama erat dengan Majlis Agama Negeri dan badan-badan zakat di seluruh Malaysia, termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato' Syeikh Zakaria Othman berkata, kerjasama tersebut menunjukkan bahawa wakalah zakat boleh dilaksanakan sebagai intervensi pembangunan yang tersusun, dengan menghubungkan latihan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan bantuan keperluan asas.
“Dana wakalah ini bukan sebagai bantuan jangka pendek semata-mata. Matlamatnya adalah untuk membina keupayaan asnaf agar mereka mempunyai kemahiran, akses kepada pekerjaan dan peluang menjana pendapatan yang lebih stabil. LZNK menghargai komitmen Maybank Islamic dalam menjayakan pendekatan pembangunan asnaf yang berfokus dan berimpak ini,” kata Dato' Syeikh Zakaria.
Peruntukan terbesar, iaitu RM484,880.00, disalurkan bagi Program Latihan Kemahiran Teknologi Pembuatan di KHTP Techno Centre. Program selama tiga bulan dari 28 April hingga 26 Julai 2026 itu melibatkan 40 peserta daripada keluarga asnaf fakir dan miskin,
terdiri daripada 32 lelaki dan 8 wanita.
Daripada jumlah tersebut, seramai 37 peserta atau 92.5 peratus telah memperoleh pekerjaan tetap sebaik sahaja selesai kursus. Majoriti ditempatkan dalam sektor pembuatan sebagai machinist, CNC machinist, machine operator, machine setter, quality inspector, QC officer dan jawatan teknikal berkaitan di pelbagai agensi dan syarikat korporat.
Sebanyak RM150,000.00 pula telah diperuntukkan kepada tiga peserta Bengkel Jahitan LZNK di Kota Setar, iaitu RM50,000.00 bagi setiap peserta sebagai modal yang akan membantu membiayai kos permulaan perniagaan termasuk pembelian peralatan, bahan mentah dan keperluan operasi.
Ketiga-tiga peserta turut ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam Program Diploma Teknousahawan Reka Bentuk dan Pengeluaran Fabrik di Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar.
Maybank Islamic turut memperuntukkan RM200,696.58 bagi Program Pusat Agihan Makanan Fakir dan Miskin melalui 16 masjid terpilih di daerah Kuala Muda. Setiap pusat akan menerima 40 kit makanan setiap bulan dari bulan Julai hingga Disember 2026. Berdasarkan jadual agihan itu, sebanyak 3,840 kit makanan telah diperuntukkan sepanjang tempoh enam bulan tersebut.
Sejumlah RM34,230.00 pula diperuntukkan bagi penyediaan mesin jahitan kepada 13 peserta daripada empat Bengkel Jahitan LZNK. Mesin berkenaan akan digunakan peserta di kediaman masing-masing bagi membolehkan peserta mengambil tempahan dan
menjana pendapatan sampingan dari rumah.
Secara keseluruhannya, peruntukan Wakalah Agihan Zakat berjumlah RM869,806.58 ini mencerminkan komitmen Maybank Islamic Berhad dalam menyokong usaha pembangunan asnaf secara lebih menyeluruh.
Keseluruhan empat inisiatif ini menggabungkan intervensi ekonomi dan kebajikan bagi meningkatkan kemahiran, peluang pekerjaan dan keupayaan menjana pendapatan di samping membantu memenuhi keperluan makanan keluarga fakir dan miskin.
SUMBER: Maybank
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Roziana Hamsawi
Unit Komunikasi Korporat
Maybank Islamic
Emel: roziana.h@maybank.com
--BERNAMA