RKB JOHOR 2026 CATAT POTENSI PENJIMATAN RM81.9 JUTA SETAHUN

Released on: Friday, 11 Sep 2026 5:19PM

JOHOR BAHRU, 11 Sept (Bernama) -- Sebanyak 39 projek daripada 17 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Johor diketengahkan dalam Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Johor 2026 dengan potensi penjimatan kos sebanyak RM81.9 juta setahun menerusi penambahbaikan proses, pemudahan prosedur dan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI). 

Penyertaan tahun ini meningkat ketara berbanding 15 projek pada tahun 2025, mencerminkan kesungguhan jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan mesra rakyat serta perniagaan. Johor merupakan negeri pertama yang melaksanakan Konvensyen RKB di Malaysia dan penganjuran tahun ini merupakan tahun kedua pelaksanaannya.

Konvensyen ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mempercepat penambahbaikan proses, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan produktiviti sektor awam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), YB Dato’ Haji Nasri bin Md. Ali, menegaskan bahawa reformasi perlu menghasilkan perubahan yang nyata dan memberi nilai kepada rakyat serta perniagaan.

“Reformasi yang sebenar ialah perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai. Setiap projek perlu membawa kepada masa yang lebih singkat, proses yang lebih mudah, keputusan yang lebih cepat atau perkhidmatan yang lebih baik.” 

Pelaksanaan RKB semakin signifikan dalam menyokong pertumbuhan Johor yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi 8.0 peratus pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri, dengan KDNK bernilai RM170.9 bilion serta pelaburan diluluskan sebanyak RM110.0 bilion. Pentadbiran yang cekap dan responsif penting bagi memperkukuh keyakinan pelabur serta menyokong daya saing negeri.

Konvensyen tahun ini turut memberi penekanan kepada penerapan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam projek-projek RKB bagi mempercepat proses kerja, meningkatkan ketepatan dan kualiti keputusan, mengurangkan kerja berulang serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Pelaksanaan projek turut diperkukuh melalui kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi penglibatan pelajar sebagai pembimbing teknikal. Kerjasama ini membantu penerapan teknologi dan AI dalam projek RKB, di samping memberi pendedahan kepada pelajar dalam menyelesaikan cabaran sebenar perkhidmatan awam. 

Projek-projek terbaik yang berpotensi dan menunjukkan impak signifikan akan diketengahkan ke Konvensyen RKB Peringkat Nasional, sekali gus membuka ruang untuk amalan terbaik dari Johor diperluas dan dijadikan rujukan kepada agensi lain.

Kerajaan Negeri Johor bersama MPC akan terus memperluas pendekatan RKB yang terbukti berkesan bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan kualiti penyampaian perkhidmatan, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030.

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Azimah Adnan
Tel: 012 – 2961494
Emel: azimah@mpc.gov.my

--BERNAMA 
Back to Home