Simposium Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Wilayah Pantai Timur 2026 di Kuantan. Mudahkan urusan, kurangkan kos, tingkat produktivitiKUANTAN, 11 Sept (Bernama) -- Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) perlu diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat dan komuniti perniagaan melalui urusan kerajaan yang lebih mudah, pantas dan menjimatkan kos, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti serta daya saing ekonomi.
Demikian antara penekanan YH Dato' Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Pahang yang mewakili YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Pahang, ketika merasmikan Simposium Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Wilayah Pantai Timur 2026 di Kuantan.
Simposium anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui pejabat negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan ini menghimpunkan lebih 250 peserta daripada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, industri, persatuan perniagaan serta pihak berkepentingan. Turut hadir ialah wakil beberapa agensi dari luar Wilayah Pantai Timur bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik pelaksanaan RKB.
Menurut YH Dato' Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria, RKB tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai usaha mengurangkan prosedur atau mempercepat sesuatu proses. Sebaliknya, reformasi perlu memastikan setiap proses kerajaan benar-benar memberikan nilai kepada rakyat, perniagaan dan pembangunan ekonomi.
Keberkesanan sesuatu reformasi perlu dinilai berdasarkan hasil yang nyata sama ada masa menunggu dapat dipendekkan, kos pematuhan dapat dikurangkan, proses yang tidak lagi relevan dapat dihapuskan dan pengalaman berurusan dengan kerajaan menjadi lebih mudah serta lebih pasti.
Pentadbiran yang lebih cekap dan responsif juga mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada pelaburan dan aktiviti ekonomi. Dalam jangka panjang, penyampaian kerajaan yang lebih produktif dapat menyokong pertumbuhan perniagaan, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan daya saing negeri.
Reformasi Perlu Menghasilkan Perubahan Yang DirasaiBeberapa inisiatif RKB yang dilaksanakan di Wilayah Pantai Timur menunjukkan bagaimana penambahbaikan proses kerajaan boleh menghasilkan impak secara langsung kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Di Pahang, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang telah mempercepatkan tempoh kelulusan urusan penyerahan dan pemberimilikan semula tanah di bawah Seksyen 204D daripada 12 bulan kepada enam bulan, manakala Jabatan Kehakiman Syariah Pahang berjaya memendekkan tempoh proses permohonan faraid daripada 28 hari kepada 7 hari.
Di Terengganu, Pejabat Tanah Kuala Terengganu berjaya mempercepatkan kelulusan permohonan Tanah Muara Utara KTCC daripada 12 bulan kepada satu bulan.
Sementara itu, di Kelantan, penambahbaikan proses pendaftaran kelulusan pindah milik tanah antara keluarga terdekat oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan menghasilkan anggaran penjimatan kos pematuhan RM233,000 setahun.
Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa RKB bukan sekadar perubahan pada prosedur dalaman kerajaan. Reformasi yang berkesan memberi kembali masa kepada rakyat, mengurangkan kos kepada perniagaan, mempercepat keputusan ekonomi dan membolehkan sumber kerajaan digunakan dengan lebih produktif.
YH Dato' turut menekankan bahawa sesuatu inisiatif RKB perlu bersifat reformatif dan memberi perubahan yang signifikan, bukannya sekadar penambahbaikan kecil. Agensi kerajaan perlu berani menilai semula keperluan dokumen, lapisan kelulusan dan proses yang tidak lagi relevan, selain menangani punca sebenar sesuatu masalah.
Daripada Amalan Terbaik kepada ReplikasiSimposium ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas pelaksanaan amalan terbaik RKB merentasi negeri dan organisasi.
Pahang, Terengganu dan Kelantan mempunyai cabaran penyampaian perkhidmatan yang berbeza, namun banyak isu yang dihadapi rakyat dan komuniti perniagaan mempunyai persamaan. Penyelesaian yang telah terbukti berkesan di sesebuah PBT, pejabat tanah atau jabatan tidak seharusnya kekal sebagai amalan terpencil, sebaliknya boleh disesuaikan dan direplikasi oleh organisasi lain yang menghadapi cabaran serupa.
Pendekatan ini dapat mengelakkan agensi daripada berulang kali mencari penyelesaian kepada masalah yang sama dan membolehkan reformasi berimpak tinggi diperluas dengan lebih pantas kepada lebih ramai rakyat dan perniagaan.
Sempena simposium tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang turut menyampaikan Sijil Pelantikan Ketua Pegawai Reformasi atau Chief Reform Officer (CRO) kepada kira-kira 49 pegawai melibatkan Jabatan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, PBT serta Badan Berkanun Negeri.
Pelantikan CRO akan memperkukuh tadbir urus reformasi dan memastikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), termasuk pelaksanaan RKB, digerakkan secara lebih sistematik di setiap jabatan dan agensi.
RM3.21 Bilion Penjimatan Kos PematuhanSementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi bin Tamam, berkata ukuran kejayaan RKB perlu melangkaui bilangan projek yang didaftarkan atau disiapkan.
Di peringkat nasional, sebanyak 496 projek RKB telah disiapkan dengan anggaran penjimatan kos pematuhan RM3.21 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Menurut beliau, nilai sebenar reformasi bukan sekadar pada angka penjimatan tersebut, tetapi pada masa yang dapat dikembalikan kepada rakyat, pengurangan kos menjalankan perniagaan, keputusan pelaburan yang dapat dipercepatkan serta peluang ekonomi yang dapat digerakkan lebih awal.
“MPC akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara, pembimbing dan penghubung antara Kerajaan, industri serta pihak berkepentingan bagi membantu agensi bergerak daripada mengenal pasti isu kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan seterusnya menghasilkan impak yang boleh diukur,” katanya.
Beliau berkata pencapaian Malaysia di kedudukan ke-15 World Competitiveness Ranking 2026 memberi isyarat positif terhadap usaha meningkatkan kecekapan dan daya saing negara, namun momentum tersebut perlu diterjemahkan secara konsisten sehingga ke peringkat negeri, daerah, PBT dan barisan hadapan penyampaian perkhidmatan.
Simposium RKB Wilayah Pantai Timur diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak reformasi yang memberi hasil nyata dalam petunjuk urusan lebih pantas, kos lebih rendah, proses lebih mudah, penyampaian kerajaan lebih produktif dan persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Hazwani Nadiah Ismail
Tel: 012-663 8911
E-mel: hazwani@mpc.gov.my
Nama: Kartin Haslinda Che Mat
E-mel: haslinda@mpc.gov.my
--BERNAMA