PERKEMBANGAN TERKINI PERKHIDMATAN DOKTOR UDARA (FDS) DAN PEMINDAHAN PERUBATAN (MEDEVAC) DI NEGERI SARAWAK

Released on: Thursday, 10 Sep 2026 4:12PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini susulan insiden kemalangan yang melibatkan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak.

Berdasarkan maklumat dan perkembangan terkini yang diterima, KKM ingin memaklumkan perkara-perkara berikut:

1. Semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara, bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak yang berkaitan. 

2. Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Pada masa sama, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian. 

3. KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada. Penilaian ini bertujuan untuk memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak. 

4. KKM sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.  

KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini. Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman. 

KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya.

DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN
10 SEPTEMBER 2026


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Effaizah binti Shahidan 
Pegawai Perhubungan Awam 
Unit Komunikasi Korporat 
Tel: +603-8883 3478 / 012-3417379 

--BERNAMA 
Back to Home