MIDA ANJUR SEMINAR PELABURAN WILAYAH PANTAI TIMUR 2026, PERKASA PKS DAN SYARIKAT TEMPATAN

Released on: Wednesday, 02 Sep 2026 10:59AM

Akses Terus Kepada Lebih 15 Agensi Kerajaan, Forum Pelaburan Bernilai Tinggi Dan Jaringan Bersama 300 Peserta Industri  Dalam Satu Hari, Di Satu Lokasi.

• Menghimpunkan syarikat tempatan dan Bumiputera, PKS, syarikat mid-tier, pelabur serta pemain industri dari Pahang, Kelantan dan Terengganu.
• Memberi tumpuan kepada peluang pertumbuhan, peningkatan kapasiti, teknologi dan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.
• ECRL diketengahkan sebagai pemangkin baharu pelaburan, logistik dan pembangunan ekonomi di sepanjang Koridor Pantai Timur.
• Business Clinic menyediakan akses terus kepada lebih 15 agensi Kerajaan — termasuk Kastam, Imigresen, LHDN, PERKESO, TNB dan PLANMalaysia  bagi membantu menangani isu operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan dan pelaksanaan projek.


KUANTAN, Pahang, 2 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menganjurkan Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 bertemakan “Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur” pada 8 September 2026 di AC Hotel, Kuantan, Pahang.  Seminar ini  menjadi platform untuk memperkukuh ekosistem pelaburan serta memperkasakan syarikat tempatan dan Bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Menyasarkan penyertaan seramai 300 peserta, seminar ini akan menghimpunkan syarikat tempatan dan Bumiputera, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi Kerajaan untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu dan membina hubungan strategik di Wilayah Pantai Timur.

Seminar ini memberi fokus kepada peranan syarikat tempatan dalam membentuk ekosistem industri Pantai Timur yang lebih inklusif dan berdaya saing. MIDA mahu menggalakkan syarikat sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan teknologi, meningkatkan produktiviti dan bergerak ke arah aktiviti bernilai tambah lebih tinggi. Ini selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI untuk memastikan manfaat pembangunan pelaburan dapat dirasai dengan lebih meluas oleh ekonomi dan masyarakat tempatan.

Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, berkata, “Wilayah Pantai Timur mempunyai asas ekonomi dan industri yang kukuh serta potensi yang besar untuk berkembang sebagai koridor pelaburan yang lebih berdaya saing. Dengan peningkatan kesalinghubungan melalui ECRL, kekuatan sektor sedia ada serta peluang dalam sektor baharu dan bernilai tinggi, kita melihat ruang yang besar untuk syarikat tempatan dan Bumiputera berkembang bersama pelaburan yang masuk ke rantau ini.”

“Yang paling penting, kita mahu PKS dan syarikat tempatan melihat perkembangan ini bukan hanya sebagai peluang untuk syarikat besar, tetapi sebagai peluang untuk mereka sendiri meningkatkan kapasiti, mengadaptasi teknologi, menjadi pembekal kepada industri yang lebih besar dan menembusi pasaran baharu. Seminar ini merupakan salah satu platform untuk membantu mereka memahami peluang tersebut dan menghubungkan mereka dengan pihak yang boleh membantu merealisasikannya,” tambah Datuk Sikh Shamsul Ibrahim.

Mengapa Anda Perlu Hadir
• Memahami Kerangka Insentif Baharu (NIF) dan cara memohon insentif pelaburan yang bersesuaian dengan perniagaan anda.
• Meneroka peluang sebenar daripada projek ECRL — dari logistik dan rantaian bekalan sehingga lokasi strategik di sepanjang koridor.
• Menimba inspirasi daripada syarikat tempatan yang telah berkembang daripada PKS kepada pemain nasional dan global.
• Membina jaringan strategik bersama pelabur, institusi kewangan dan 300 peserta industri dalam satu majlis.
 
Program yang Memacu Peluang dan Jaringan Perniagaan

Program ini akan menampilkan ucaptama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, diikuti dengan sesi mengenai Kerangka Insentif Baharu (New Incentive Framework

– NIF), Forum ECRL serta sesi “Dari Pantai Timur ke Persada Dunia” yang akan meneroka peluang pelaburan, kesalinghubungan serantau serta laluan untuk syarikat tempatan mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas.

Program ini turut menampilkan Forum Penyertaan Ekonomi Bumiputera dan Sesi Ekosistem Halal yang memberi tumpuan kepada pengukuhan penyertaan syarikat tempatan serta pembangunan ekosistem halal dan keterjaminan makanan. Selain itu, Business Clinics akan menyediakan peluang kepada syarikat untuk berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, PERKESO serta agensi Kerajaan berkaitan bagi mendapatkan panduan dan penyelesaian berhubung isu operasi, pematuhan, tenaga kerja, kelulusan dan pelaksanaan projek.

Jangan Lepaskan Peluang — Daftar Sekarang

MIDA mengalu-alukan penyertaan PKS, syarikat tempatan dan Bumiputera, syarikat mid-tier, pelabur serta pemain industri untuk menyertai Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026.

Peserta digalakkan untuk mendaftar seawal mungkin bagi mendapatkan maklumat terkini, membina rangkaian perniagaan, meneroka peluang pelaburan dan mendapatkan akses terus kepada agensi Kerajaan melalui sesi Business Clinic.

Tempat penyertaan terhad kepada 300 peserta sahaja. Daftar sekarang bagi memastikan penyertaan anda.

Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 8 September 2026 | AC Hotel, Kuantan, Pahang

Daftar sekarang: https://form.evenesis.com/MIDA-Seminar-Pelaburan-Wilayah-Pantai-Timur-2026  

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran X, Instagram, Facebook, LinkedIn, TikTok dan YouTube.


SUMBER: Malaysian Investment Development Authority (MIDA)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
MIDA
Nama: Puan Rozita Ibrahim
Pengarah, Bahagian Pelaburan Tempatan, MIDA
Emel: rozita@mida.gov.my
Tel: +603-2267 3479

--BERNAMA
Back to Home