Program yang dipacu oleh industri pelancongan Malaysia menerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) ini merupakan inisiatif bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan United Nations Development Programme (UNDP) MalaysiaKUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Program Sayangi Malaysia Sustainable Tourism (SMST) memperkukuh industri pelancongan melalui penerapan amalan lestari yang meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan pembaziran dan kos, serta meningkatkan produktiviti dan daya saing perusahaan.
Program yang dipacu oleh industri pelancongan Malaysia menerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) ini merupakan inisiatif bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia sebagai salah satu langkah strategik untuk memperluas penerimagunaan amalan pelancongan lestari serta menterjemahkannya kepada tindakan praktikal di peringkat perusahaan dan destinasi. SMST turut menerima pengiktirafan sebagai ‘Best Sustainable Tourism Campaign’ di Anugerah Industri Pelancongan 2026, sekali gus mencerminkan potensi program dalam menggabungkan kelestarian, produktiviti dan kerjasama industri.
Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), MOTAC, yang turut menyampaikan pengiktirafan kepada lebih 40 jurulatih industri, 11 Ambassador daripada barisan hadapan Batik Air Malaysia, 28 Rakan Strategik TPN serta dua syarikat yang mencapai pensijilan kecemerlangan organisasi di bawah Program Sayangi Malaysia Sustainable Tourism. Sempena majlis tersebut, TPN dan MPC turut memperkenalkan panduan pelaksanaan Pelancongan Lestari iaitu “Sayangi Malaysia: Strategic Framework for Sustainable Tourism in Malaysia”, yang dibangunkan melalui kerjasama MOTAC dan UNDP Malaysia. Kerangka ini menjadi panduan pembangunan pelancongan yang lebih bertanggungjawab, inklusif, produktif dan berdaya tahan.
Encik Chua berkata, pelancongan lestari perlu memastikan industri terus berkembang dan menjana nilai ekonomi tanpa mengabaikan kepentingan komuniti serta alam sekitar.
“Kerjasama kerajaan, industri dan komuniti amat penting bagi memastikan pembangunan pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya. Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, berkata produktiviti dalam sektor pelancongan perlu diterjemahkan melalui penghasilan nilai yang lebih tinggi dengan penggunaan sumber yang lebih cekap.
“Perusahaan perlu mengoptimumkan penggunaan tenaga, air, tenaga kerja dan teknologi, di samping mengurangkan pembaziran. Kecekapan operasi, kemahiran tenaga kerja dan pengalaman pelancong yang lebih berkualiti akan meningkatkan produktiviti serta daya saing perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TPN, Rohizam Md Yusoff, berkata SMST akan menggerakkan prinsip pelancongan lestari kepada tindakan praktikal yang boleh dilaksanakan dan diukur oleh pemain industri.
“Kelestarian perlu diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan, kualiti, prestasi perniagaan dan daya tahan perusahaan,” katanya.
Melalui SMST, perusahaan pelancongan digalakkan menambah baik proses operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan kos tidak bernilai tambah, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta mempercepat penerimagunaan teknologi.
TPN, MPC, MOTAC dan UNDP Malaysia akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memperluas pembangunan kapasiti, penerapan amalan terbaik dan pengukuran impak, sekali gus mempercepat transformasi industri pelancongan Malaysia ke arah sektor yang lebih lestari, produktif dan berdaya saing.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Emilly Christal Carol Tony
E-mel: Emilly@mpc.gov.my
--BERNAMA