KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Center for Dialogue and Cooperation among Civilizations (CDCC), Indonesia akan menganjurkan Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia–Indonesia (MALINDO MADANI) Kali Ke-2 pada 20 hingga 23 Ogos 2026 di Jakarta. Program ini menghimpunkan cendekiawan, pemimpin institusi dan tokoh masyarakat kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ilmu, penyelidikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Delegasi Malaysia akan diketuai oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kepimpinan delegasi pada peringkat menteri menegaskan iltizam Malaysia untuk menterjemahkan hubungan serumpun kepada jaringan institusi yang tersusun, berterusan dan menghasilkan manfaat nyata kepada masyarakat Malaysia dan Indonesia.
Antara perkara yang akan diketengahkan ialah gagasan Sarwa Madani sebagai cadangan kerangka perancangan strategik yang menghubungkan martabat insan, kebenaran ilmu, keadilan institusi dan tanggungjawab sosial. Perbincangan turut meliputi pengukuhan institusi pemikiran, penyelidikan dan pendidikan; peluasan kerjasama industri halal; peranan organisasi kemasyarakatan (ormas); serta Wakaf Media sebagai kaedah memperluas akses kepada ilmu dan warisan peradaban. Cadangan Program Wakaf Media oleh IKIM dalam kerangka MABIMS juga akan diketengahkan untuk pertimbangan dan kerjasama serantau.
“MALINDO MADANI bukan sekadar pertemuan berasaskan kedekatan sejarah dan budaya. Ukuran kejayaannya ialah kesinambungan selepas program — melalui penyelidikan bersama, penerbitan, pertukaran ilmuwan dan jaringan strategik yang mampu memposisikan Malaysia dan Indonesia sebagai rakan pemacu wacana Islam kontemporari yang berwibawa di peringkat dunia.” Butiran atur cara dan penyertaan tokoh adalah tertakluk kepada pengesahan akhir pihak penganjur.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
20 Ogos 2026 | 7 Rabiulawal 1448H
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama:Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA