KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Star Medik Sdn. Bhd. memperkukuh agenda transformasi produktiviti bagi meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti pengeluaran dan daya saing syarikat selaras dengan aspirasi New Industrial Master Plan (NIMP) 2030, menerusi Program Transformasi Produktiviti dengan bimbingan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Transformasi ini menyasarkan lonjakan keupayaan operasi Star Medik ke tahap yang lebih tinggi, dengan fokus kepada pengoptimuman proses, pengurangan pembaziran, peningkatan kualiti serta penggunaan sumber secara lebih cekap bagi menyokong pertumbuhan kapasiti pengeluaran.
Tn. Hj. Johari Abu Kasim, Pengarah Urusan Kumpulan Star Medik, berkata transformasi produktiviti merupakan satu langkah strategik untuk memastikan syarikat bukan sahaja meningkatkan output, malah membina keupayaan operasi yang lebih cekap, tangkas dan mampan.
“Produktiviti bukan sekadar menghasilkan lebih banyak, tetapi bagaimana kita mencipta nilai yang lebih tinggi melalui penggunaan tenaga kerja, teknologi, masa dan sumber yang lebih optimum. Transformasi ini merupakan langkah penting untuk membawa Star Medik ke tahap kecekapan operasi yang lebih tinggi serta memperkukuh daya saing syarikat dalam jangka panjang”, katanya.
Sebagai sebahagian daripada transformasi, Star Medik telah melaksanakan beberapa intervensi utama termasuk penetapan lima KPI strategik, latihan peningkatan keupayaan pekerja, bimbingan Overall Equipment Effectiveness (OEE), analisis punca masalah dan Value Stream Mapping (VSM) bagi mengenal pasti peluang penambahbaikan serta mengurangkan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah.
Pada masa sama, Star Medik sedang mempercepatkan agenda pendigitalan melalui pembangunan e-form dan live dashboard bagi memperkukuh pemantauan prestasi serta menyokong pembuatan keputusan yang lebih pantas dan berasaskan data.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Star Medik untuk membina budaya produktiviti yang berterusan, di samping menyokong aspirasi NIMP 2030 dalam mempercepatkan transformasi industri melalui peningkatan produktiviti, pendigitalan, pembangunan bakat dan pengukuhan daya saing perusahaan.
Menurut Dr. Mazrina Ibramsah, transformasi yang dilaksanakan Star Medik memperlihatkan kepentingan mengintegrasikan manusia, proses, teknologi dan data sebagai pemacu utama peningkatan produktiviti.
“Produktiviti yang mampan tidak berlaku melalui satu intervensi sahaja. Ia memerlukan perubahan menyeluruh terhadap cara organisasi mengurus proses, membangunkan bakat, memanfaatkan teknologi dan menggunakan data untuk membuat keputusan. Pendekatan Star Medik menunjukkan bagaimana agenda produktiviti boleh diterjemahkan kepada perubahan sebenar di peringkat operasi”, ujarnya.
Melalui kerjasama dengan MPC, Star Medik terus memperkukuh asas operasi bagi mencapai output yang lebih tinggi, proses yang lebih cekap, kualiti yang lebih baik dan penggunaan sumber yang lebih optimum – seterusnya membina organisasi yang lebih produktif, berdaya tahan dan bersedia untuk pertumbuhan masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Peningkatan Produktiviti, sila layari laman sesawang berikut:
https://nimp.malaysiabusinessexcellence.com/admin/dashboard.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Norfaizah Abdul Rahman
E-mel: faizah@mpc.gov.my
--BERNAMA