PROGRAM TRANSFORMASI PRODUKTIVITI NIMP 2030 PACU 200 SYARIKAT PEMBUATAN TINGKAT DAYA SAING INDUSTRI NEGARA

Released on: Tuesday, 04 Aug 2026 4:24PM


Table
Program Transformasi Produktiviti, Memperkasa Kecekapan Operasi.


KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkukuh pelaksanaan Program Transformasi Produktiviti di bawah New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) bagi membantu mempercepat transformasi sektor pembuatan negara ke arah industri yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing. 

Program ini menyasarkan penyertaan 200 syarikat pembuatan kecil dan sederhana untuk melaksanakan intervensi produktiviti melalui penambahbaikan proses, penggunaan teknologi digital, automasi, pembangunan modal insan serta penerapan amalan terbaik operasi. Pelaksanaannya turut menyokong aspirasi NIMP 2030 untuk meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing industri negara.

Melalui program ini, MPC membantu syarikat mengenal pasti jurang produktiviti, meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber, mempercepat penerapan teknologi serta membina budaya penambahbaikan berterusan. Pendekatan ini penting bagi membolehkan syarikat tempatan beralih daripada operasi berintensif buruh kepada aktiviti bernilai lebih tinggi dan menyumbang kepada pengukuhan ekosistem industri negara. 

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkata, peningkatan produktiviti merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan agenda transformasi industri negara di bawah NIMP 2030. 

“Program Transformasi Produktiviti merupakan pemangkin penting dalam membantu industri meningkatkan keupayaan operasi, mengadaptasi teknologi dan membangunkan tenaga kerja berkemahiran. Transformasi industri tidak hanya bergantung kepada pelaburan, tetapi turut memerlukan keupayaan syarikat untuk menghasilkan nilai yang lebih tinggi melalui produktiviti dan inovasi.” 

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan 200 syarikat pembuatan kecil dan sederhana merupakan langkah strategik dalam membina ekosistem industri yang lebih kukuh. Apabila lebih banyak syarikat meningkatkan produktiviti, kesannya dapat dilihat melalui peningkatan daya saing perusahaan, pengukuhan rantaian bekalan serta pembangunan industri yang lebih mampan selaras dengan aspirasi NIMP 2030.

MPC komited untuk terus bekerjasama dengan pemain industri, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memperluas agenda transformasi produktiviti serta memastikan sektor pembuatan Malaysia kekal berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi global Untuk maklumat lanjut mengenai Program Peningkatan Produktiviti, sila layari laman sesawang berikut: https://nimp.malaysiabusinessexcellence.com/admin/dashboard.

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Norfaizah Abdul Rahman
E-mel: faizah@mpc.gov.my

--BERNAMA
Back to Home