Encik Muhammad Nor bin Jaafar, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pelupusan, Kuatkuasa dan Teknikal Pejabat Tanah Galian JohorJOHOR, 31 Julai (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan dan Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG Johor) memperkukuh kerjasama strategik bagi mentransformasi urusan pembangunan tanah negeri Johor agar lebih cekap, seragam dan responsif terhadap keperluan rakyat, pelabur serta pihak berkepentingan.
Inisiatif di bawah agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) ini memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh proses
Land Coordination Meeting (LCM), iaitu platform penyelarasan antara Pejabat Tanah Daerah, PTG dan jabatan teknikal bagi mempercepatkan ulasan serta keputusan berkaitan permohonan tanah.
Melalui pendekatan RKB, setiap peringkat proses diteliti bagi mengenal pasti aktiviti yang tidak memberi nilai tambah, pertindihan semakan, masa menunggu serta proses kerja yang boleh dipermudah. Inisiatif ini turut mengesahkan masa pemprosesan sebenar berbanding sasaran dan membangunkan aliran kerja baharu yang lebih ringkas, praktikal serta berorientasikan hasil.
YBrs. Encik Muhammad Nor bin Jaafar, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pelupusan, Kuatkuasa dan Teknikal Pejabat Tanah Galian Johor, menegaskan bahawa usaha kearah penambahbaikan urusan pentadbiran tanah negeri memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak yang terlibat.
“Usaha menambah baik urusan pentadbiran tanah Johor tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian. Ia memerlukan komitmen, penyelarasan dan kerjasama erat antara PTG Johor, Pejabat Tanah Daerah, jabatan teknikal serta agensi berkaitan supaya setiap pembaharuan dapat diterjemahkan kepada proses yang lebih cekap, seragam dan memberikan manfaat kepada rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.
YBrs. Encik Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan, turut menyatakan bahawa “Penambahbaikan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memberikan kepastian yang lebih tinggi kepada pemohon, malah berupaya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan dan pelaburan. Impak ini penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh daya saing dan produktiviti negeri Johor. Pada masa yang sama, potensi pembangunan sistem e-LCM turut diteroka bagi membolehkan maklumat teknikal dikemas kini, diakses dan dipantau secara bersepadu,” katanya.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Johor, PTG Johor dan MPC untuk menghasilkan impak RKB yang nyata melalui penyampaian perkhidmatan awam yang lebih pantas, telus dan konsisten, di samping mewujudkan persekitaran pembangunan serta pelaburan yang lebih kondusif. Hasil bengkel akan menjadi asas kepada pemuktamadan aliran kerja baharu dan hala tuju pelaksanaan reformasi LCM di seluruh negeri Johor.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nahdatul Faeizin Norman
Tel: 012 – 7177 019
e-mel: nahdatul@mpc.gov.my --BERNAMA