Terokai China: Jelajah Media Antarabangsa ke Aba

Released on: Tuesday, 28 Jul 2026 5:15PM

Table
Pasukan media menjalankan penggambaran di kawasan pemandangan Selekoh Pertama Sungai Kuning.

CHENGDU, China, 28 Julai, 2026 /Xinhua-AsiaNet/--

Dari 23 hingga 27 Julai, program lawatan lapangan "Terokai China: Jelajah Media Antarabangsa ke Aba" telah membawa sekumpulan wartawan antarabangsa ke Daerah Pentadbiran Autonomi Aba Tibet dan Qiang di Wilayah Sichuan.

"Terokai China" merupakan satu inisiatif komunikasi antarabangsa utama yang dilancarkan oleh Pusat Berita dan Maklumat Agensi Berita Xinhua. Seramai 10 orang wartawan dari saluran media arus perdana di sembilan buah negara, termasuk Azerbaijan dan Kyrgyzstan, telah menjelajah ke Daerah Hongyuan, Daerah Ruoergai, Daerah Songpan dan Daerah Mao. Dengan memberi tumpuan kepada pemuliharaan ekologi tanah tinggi, pemerkasaan semula luar bandar serta pemeliharaan budaya masyarakat Tibet dan Qiang, mereka menjalankan penyelidikan mendalam sambil merakamkan perkembangan dataran tinggi yang dilitupi salji dari satu perspektif antarabangsa.

Di Pusat Penerbangan Beraltitud Rendah Ruoergai, rombongan media menyaksikan penerokaan baharu dalam pembangunan industri tanah tinggi. Sebagai zon perintis pertama bagi ekonomi beraltitud rendah China di kawasan beraltitud tinggi dan antara daerah terawal di Sichuan yang mempelopori pengurusan operasi beraltitud rendah, Daerah Ruoergai memanfaatkan ruang udaranya yang luas dan sumber padang rumput yang banyak untuk membangunkan pelbagai senario penggunaan, termasuk pelancongan budaya, pemantauan ekologi, operasi menyelamat kecemasan, dan pendidikan penerbangan. Sektor-sektor baru muncul ini membuka satu laluan baharu kepada pembangunan hijau di dataran tinggi. "Lawatan ini sangat bermanfaat. Pengalaman dron dan helikopter adalah baharu dan mengagumkan, sekali gus membolehkan saya merasai sendiri perkembangan pesat industri baharu di rantau itu," kata seorang wartawan dari Tajikistan.

Di Western Yak Industry Group, rombongan itu telah meninjau satu industri tanah tinggi yang unik yang membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan. Wartawan melawat bengkel pengeluaran automatik sepenuhnya dan menyaksikan sendiri langkah pemprosesan produk susu yak dari awal hingga akhir. Syarikat itu telah menubuhkan 65 stesen pengumpulan susu bergerak dan dua stesen pengumpuan susu utama di seluruh wilayah itu, dengan mewujudkan satu rangkaian pemerolehan susu segar yang meliputi radius 300 kilometer. Dengan menukarkan sumber susu yak tanah tinggi kepada produk khusus yang berkualiti tinggi, syarikat itu telah memacukan transformasi industri penternakan haiwan padang rumput. Piawaian kawalan kualiti yang ketat dan komitmennya untuk memberi manfaat kepada komuniti tempatan mendapat pujian meluas daripada wartawan yang menyertai lawatan itu.

Apabila rombongan tiba di Selekoh Pertama Sungai Kuning, mereka disambut dengan satu pemandangan matahari terbenam yang memukau. Cahaya keemasan menyinari aliran Sungai Kuning yang berliku untuk membentuk huruf "S", menghasilkan pemandangan indah yang menyatukan padang rumput dan kawasan berair. Kawasan ini merupakan satu-satunya bahagian Sungai Kuning yang mengalir melalui Wilayah Sichuan dan berfungsi sebagai benteng ekologi penting untuk pemuliharaan sumber air di persimpangan Sichuan, Gansu, dan Qinghai. Melalui pelbagai inisiatif seperti kawalan penggurunan padang rumput dan pemulihan tanah lembap, pihak berkuasa tempatan telah menaik taraf kemudahan pelancongan sambil memastikan keseimbangan di antara pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan pelancongan tanah tinggi. "Pemandangan matahari terbenam di sini sangat menakjubkan, manakala amalan pemuliharaan tanah lembap menjadi contoh yang berharga untuk tadbir urus ekologi di peringkat global," kata seorang wartawan dari Georgia.

Kawasan Pemandangan dan Kepentingan Bersejarah Huanglong, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, menempatkan Kolam Lima Warna pada ketinggian 3,576 meter dari aras laut. Terdiri daripada 693 kolam travertin berwarna-warni, tapak ini menyerupai satu untaian mutiara pelbagai warna yang bertaburan di tengah-tengah hutan yang masih terpelihara. Bagi menangani cabaran seperti penurunan paras air permukaan dan perubahan warna travertin, kawasan indah ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan travertin. Lebih daripada 40,000 meter persegi pembentukan travertin telah dipulihkan dan dilindungi bagi memastikan pemeliharaan khazanah alam semula jadi yang jarang ditemui ini. Dengan sejarah yang merangkumi lebih 600 tahun, Tokong Huanglong (Belakang) menjadi saksi kepada penyatuan budaya komuniti Tibet, Qiang, Hui, dan Han. Pesta Tokong Huanglong, yang bermula dari Dinasti Ming, kekal sebagai antara tradisi kebudayaan dan pelancongan rakyat yang paling terkenal di barat laut Sichuan.

Di Kota Purba Qiang China di Daerah Mao, satu upacara pembukaan kota yang penuh gilang-gemilang menjadi penutup kepada lawatan media itu. Diiringi tiupan trompet tradisional dan paluan gendang, Shibi – pendeta tradisional masyarakat Qiang – mengetuai upacara korban mengikut adat purba, sementara barisan pahlawan Qiang berdiri megah menyambut ketibaan tetamu dengan reben merah tradisional Qiang. Suasana budaya Qiang purba yang kaya menawarkan wartawan dengan satu pengalaman yang mendalam tentang kekayaan budaya etnik ini. Sebagai kawasan yang menempatkan komuniti etnik Qiang terbesar di China, Daerah Mao berjaya menghidupkan semula tradisi purba menerusi persembahan teater imersif In Search of the Ancient Qiang, sekali gus mengangkat semula warisan budaya Qiang dalam era moden.

Terletak di barat laut Wilayah Sichuan di pinggir tenggara Dataran Tinggi Qinghai-Xizang, Daerah Pentadbiran Autonomi Aba Tibet dan Qiang merangkumi kawasan seluas 84,200 kilometer persegi dan mempunyai jumlah penduduk hampir 900,000 orang. Kira-kira 60 peratus daripada penduduknya ialah masyarakat Tibet, sekali gus mencerminkan identiti pelbagai etnik yang unik di wilayah tersebut. Wilayah Aba juga berperanan sebagai benteng ekologi yang penting di bahagian hulu Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Ia menempatkan Tanah Lembap Ruoergai, iaitu paya dataran tinggi terbesar di China, serta tapak warisan semula jadi yang terkenal di dunia termasuk Lembah Jiuzhaigou dan kawasan pemandangan dan kepentingan bersejarah Huanglong.
 
Sumber: Pusat Berita dan Maklumat Agensi Berita Xinhua
 
--BERNAMA
Back to Home