BUBU TRADISIONAL JADI IKON TEMASYA BUDAYA PERAK 2026

Released on: Tuesday, 28 Jul 2026 3:38PM

Table

Tarian bubu yang dipersembahkan mencuri tumpuan orang ramai yang hadir pada Malam Perasmian Temasya Budaya Perak 2026


TELUK INTAN, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Temasya Budaya Perak 2026 di Dataran Udang Galah, Teluk Intan, Perak dari 23 hingga 26 Julai 2026 (9.00 pagi hingga 11.00 malam).
 
Program anjuran JKKN Perak ini turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Kebudayaan Negeri Perak. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak (mewakili YAB Menteri Besar Perak), bersama YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC.
 
Penganjuran temasya ini merupakan antara inisiatif strategik bagi menyokong sasaran 12.7 juta pelancong ke Perak sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Menurut YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, pencapaian 10.2 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun 2025 membuktikan potensi besar sektor pelancongan Perak. Beliau yakin sasaran baharu ini mampu dicapai menerusi kerjasama erat semua pihak.
 
Sementara itu, YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff meyakini penganjuran Temasya Budaya Perak 2026 mampu mengangkat Daerah Teluk Intan sebagai destinasi kaya warisan, seni, dan budaya, seterusnya memperkukuh sektor pelancongan negeri Perak.
  
Acara kemuncak Malam Perasmian Temasya Budaya Perak 2026 berlangsung meriah dengan persembahan ikonik Tarian Bubu sebagai tarikan utama, di samping pelbagai persembahan kesenian yang mengetengahkan keunikan warisan budaya negeri. Malam berkenaan turut diserikan dengan penampilan artis popular tanah air seperti Wany Hasrita, Pakya Senario, Amzarul, dan Faris Jamhari, serta persembahan daripada Kumpulan Kesenian JKKN Perak.
 
Pelbagai pengisian telah disusun bagi memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung, antaranya:
 
• Program Utama: Malam Kerohanian bersama YBhg. Dato’ Hj. Harith Fadzilah, Larian Seni Tekat Perak 2026, dan Program ExploreRace Perak Sejahtera 2030 Daerah Hilir Perak;
• Pertandingan & Pencungkilan Bakat: 14 pertandingan dianjurkan termasuk Senam Seni 2.0, Perang Kata, Bicara Berirama, Temasya Tali Tradisional Perak, dan Pertandingan Serikandi Puteri Perak; dan
• Pameran & Jualan Budaya: Reruai kebudayaan masyarakat Melayu, Cina, India, dan Orang Asli, demonstrasi kraf, Studio Seni Budaya, sukan rakyat, serta Pesta Moh Makan yang mengetengahkan pelbagai juadah tradisional Perak.
 
Temasya Budaya Perak 2026 berjaya menghimpunkan elemen seni, budaya, dan warisan yang mencerminkan identiti majmuk negeri Perak. Penganjuran ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam mengangkat nilai perpaduan, hormat, dan ihsan menerusi pemerkasaan seni budaya. Selain menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dan memperkukuh kebersamaan antara kaum, program ini turut mempromosikan warisan unik Perak sebagai tarikan pelancongan budaya yang mampan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
 
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan Temasya Budaya Perak 2026. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi JKKN atau Facebook di www.facebook.com/mysenibudaya. 

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200  Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my  
E-mel: ukk@jkkn.gov.my 
 
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya 
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya   

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Naurah Daria binti Janiur
Pengarah
Unit Komunikasi Korporat, JKKN 
e-mel: doria@jkkn.gov.my
Tel: 03-2614 8200 / 019-3205214  

Nama: Stynursaiedah binti Mat Desa
Unit Komunikasi Korporat, JKKN Perak
e-mel: saiedamatdesa@jkkn.gov.my 
Tel: 05-2537001/ 011 – 5655 7915  

--BERNAMA

 
Back to Home