BALAI IKHTISAS MALAYSIA MENGADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YAB PERDANA MENTERI SELAKU PENAUNG BALAI IKHTISAS MALAYSIA

Released on: Wednesday, 22 Jul 2026 12:38PM

Table

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima cenderamata daripada Presiden Balai Ikhtisas Malaysia (BIM), Prof. ChM. Dr. Juan Joon Ching, sempena sesi kunjungan hormat BIM di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.


PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, pada 16 Julai 2026, bagi membincangkan beberapa inisiatif strategik ke arah memperkukuh pembangunan komuniti profesional serta menyokong agenda pembangunan negara.

Delegasi BIM yang diketuai oleh Presidennya, Prof. ChM. Dr. Juan Joon Ching, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian berkenan menjadi Penaung Balai Ikhtisas Malaysia, yang melambangkan komitmen bersama dalam memartabatkan profesion serta memperkukuh ekosistem profesional di Malaysia.

Dalam sesi tersebut, BIM telah membentangkan cadangan Hari Ikhtisas Malaysia, iaitu satu inisiatif nasional yang bertujuan mengiktiraf sumbangan golongan profesional terhadap pembangunan negara, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting profesion dalam memacu kemajuan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

BIM turut memberi taklimat mengenai Professional Exhibition and Conference (PROFEX) 2026, yang akan berlangsung pada 29 hingga 30 September 2026 di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur. Bertemakan "Uniting Professions, Transforming Malaysia's Future", PROFEX 2026 bakal menghimpunkan badan profesional, agensi kerajaan, industri, institusi pendidikan, golongan profesional, pelajar dan orang awam sebagai platform untuk menggalakkan perkongsian ilmu, memperkukuh kerjasama strategik serta membincangkan isu dan hala tuju pembangunan sektor profesional negara. 

Perbincangan turut menyentuh beberapa keutamaan strategik termasuk pemerkasaan integriti dan etika profesional, pembangunan bakat profesional, kesiapsiagaan menghadapi era kecerdasan buatan (AI), pengukuhan platform konsultasi profesional, serta usaha meletakkan Malaysia sebagai hab profesional serantau.

BIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian menerima kunjungan hormat ini serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa komuniti profesional negara. BIM yakin kerjasama erat antara Kerajaan dan badan-badan profesional akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang mampan, berdaya saing dan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. 


SUMBER: Balai Ikhtisas Malaysia (BIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Lisa Chong 
e-Mel: lisa.chong@bim.org.my 
Tel: +6012 672 3898 

--BERNAMA
Back to Home