MPC DAN HTPN KAJANG MEMACU REFORMASI PRODUKTIVITI HOSPITAL MELALUI INOVASI KECERDASAN BUATAN (AI)

Released on: Tuesday, 21 Jul 2026 2:16PM

Table
Kapsyen: 
INOVASI AI KESIHATAN: Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian peserta Productivity Intelligence Innova-thon 2026 di Dewan Produktiviti MPC, Kuala Lumpur, hari ini. Program kolaborasi MPC dan HTPN Kajang ini dianjurkan bagi memacu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan kesihatan awam.​

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Dalam usaha mempercepat reformasi produktiviti perkhidmatan awam, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) Kajang hari ini menganjurkan Productivity Intelligence Innova-thon 2026, sebuah inisiatif strategik yang memperlihatkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh warga kesihatan sendiri mampu mentransformasikan operasi hospital, memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan nilai kepada rakyat.  

Inisiatif ini mencerminkan komitmen perkhidmatan awam untuk memanfaatkan AI sebagai pemacu produktiviti, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dan agenda Malaysia MADANI yang menekankan inovasi, pendigitalan dan pembangunan modal insan. World Competitiveness Ranking (WCR) 2026 turut merekodkan peningkatan kedudukan Malaysia dalam sub-faktor Health & Environment daripada tangga ke-50 kepada ke-47 dunia, mencerminkan usaha berterusan memperkukuh sistem kesihatan dan daya saing negara. 

Dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, program yang berlangsung di Dewan Produktiviti MPC, Kuala Lumpur menghimpunkan hampir 200 profesional kesihatan, termasuk doktor, jururawat, pegawai pentadbiran, ahli akademik dan rakan industri untuk mempercepat pembangunan serta penggunaan penyelesaian AI yang menangani cabaran operasi sebenar dalam sistem penjagaan kesihatan.

Sebagai agensi peneraju produktiviti negara, MPC melihat AI bukan sekadar sebagai teknologi digital, tetapi sebagai pemangkin kepada transformasi proses kerja, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai yang lebih tinggi dalam penyampaian perkhidmatan awam. Pendekatan ini mengalihkan fokus daripada automasi sematamata kepada pembinaan keupayaan organisasi untuk mereka bentuk penyelesaian yang lebih pantas, lebih cekap dan lebih berpusatkan rakyat.  

Productivity Intelligence Innova-thon 2026 merupakan kesinambungan gerakan transformasi AI yang dimulakan oleh HTPN Kajang melalui penubuhan Healthcare Intelligence Office pada April 2025. Dalam tempoh hanya 15 bulan, inisiatif ini telah melatih 1,285 warga kesihatan dan menghasilkan lebih 50 aplikasi AI yang kini digunakan secara aktif di pelbagai fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kesemua penyelesaian tersebut dibangunkan, dimiliki dan diselenggara sendiri oleh warga KKM tanpa kos pelesenan perisian, sekali gus menunjukkan bahawa inovasi berimpak tinggi boleh dicapai melalui pembangunan bakat, kepimpinan organisasi dan budaya penambahbaikan berterusan.  

Model ini kini diperluaskan ke pelbagai fasiliti KKM termasuk HTPN Kajang, Hospital Pulau Pinang, Hospital Kepala Batas, Hospital Sultanah Aminah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Kebangsaan serta Perkhidmatan Pakar Perubatan Keluarga Kebangsaan. Pendekatan ini berpotensi meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan beban kerja rutin, mempercepat proses operasi, memperkukuh sokongan kepada keputusan klinikal dan membolehkan lebih banyak masa ditumpukan kepada penjagaan pesakit.

Program ini turut menampilkan empat sesi pleno yang membincangkan hala tuju AI dalam sektor penjagaan kesihatan, kerjasama penyelidikan bersama institusi pengajian tinggi, pembangunan ekosistem inovasi serta perlindungan harta intelek. Lebih 40 aplikasi AI hasil pembangunan warga KKM turut dipamerkan dan dinilai oleh 13 panel penilai daripada institusi akademik, industri, agensi teknologi dan sektor kerajaan. 

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, "Masa depan produktiviti sektor awam tidak hanya bergantung kepada penggunaan teknologi, tetapi kepada keupayaan organisasi memanfaatkan teknologi untuk mentransformasikan cara kerja. AI bukan lagi pilihan, tetapi pemangkin strategik kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, lebih pantas dan lebih berkualiti. Kejayaan HTPN Kajang membuktikan bahawa apabila bakat, inovasi dan teknologi digabungkan secara sistematik, sektor awam mampu menghasilkan penyelesaian bertaraf dunia yang memberi nilai sebenar kepada rakyat." 

MPC akan terus memperluaskan model kolaborasi ini ke sektor-sektor strategik lain bagi mempercepat transformasi produktiviti negara melalui penggunaan teknologi baharu, inovasi dan pembangunan modal insan. Usaha ini menyokong agenda nasional untuk memperkukuh daya saing Malaysia, meningkatkan kecekapan sektor awam dan mempercepat peralihan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh produktiviti, inovasi dan teknologi.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan perusahaan dengan berpandukan tiga teras utama, iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, serta membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohammad Danial Mohd Yusof
Tel: 017-6990943
Emel: danial@mpc.gov.my / media@mpc.gov.my


--BERNAMA 
Back to Home