Jabil Melancarkan Hab Logistik Pintar Generasi Baharu di Pulau Pinang

Released on: Monday, 20 Jul 2026 9:36AM

Fasiliti berdayakan AI ini memanfaatkan automasi, sistem bersepadu dan cerapan masa nyata bagi memperkukuhkan ketahanan rantaian bekalan.


PULAU PINANG, Malaysia, 20 Julai (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Jabil Inc. (NYSE: JBL), peneraju global dalam penyelesaian kejuruteraan, rantaian bekalan dan pembuatan, telah membuka hab logistik generasi baharunya di Pulau Pinang.

Hab Logistik Pintar baharu Jabil (atau "Hab") berkeluasan kira-kira 417,000 kaki persegi dan terletak di Taman Perindustrian Valdor di Sungai Jawi, Pulau Pinang. Fasiliti yang didigitalkan ini bakal memperkukuhkan operasi bahagian belakang syarikat serta menyokong keperluan pelanggan yang semakin meningkat dari segi kerumitan produk dan kapasiti. Dengan memanfaatkan keupayaan berdayakan AI, Hab ini memperkemaskan pengurusan inventori, meningkatkan kebolehkesanan dan penjejakan, menggerakkan robot autonomi dan banyak lagi.

“Ketidaktentuan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik dan operasi, serta keperluan terhadap keterlihatan inventori yang lebih menyeluruh merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh rantaian bekalan pembuatan termaju dan elektronik pada masa ini. Seiring dengan pertumbuhan yang kita saksikan di rantau ini, fasiliti baharu ini merupakan pelaburan yang tepat pada masanya untuk meningkatkan keupayaan automasi kami dan membantu Jabil berkembang bagi memenuhi keperluan pelanggan kami pada masa hadapan," kata HH Yeo, Naib Presiden Kanan Operasi Jabil.

"Hab Logistik Pintar Jabil membuktikan bahawa inovasi serta keupayaan kejuruteraan Malaysia mampu menghasilkan infrastruktur perindustrian bertaraf dunia yang memenuhi keperluan rantaian bekalan global yang sentiasa berkembang. Projek ini membuktikan komitmen kami untuk membangunkan ekosistem perindustrian yang lebih pintar, lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing Malaysia," kata Dato' Hj Abd Rahim bin Hj Jaafar, Pengerusi Eksekutif PTT Synergy Group Berhad, yang membangunkan fasiliti tersebut menerusi anak syarikatnya, PROTT Sdn. Bhd. (PROTT).

Dengan memanfaatkan lokasi strategik Pulau Pinang, hab logistik baharu ini akan menyokong aliran bahan hujung ke hujung, dengan keupayaan yang merangkumi penyediaan kit, pengurusan inventori, sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS), penyusunan mengikut urutan, pembungkusan, penghantaran silang, kebolehkesanan serta penghantaran tepat pada masanya (JIT) ke barisan pengeluaran.

Jabil membuka lokasi pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 1995. Kini, menerusi lapan fasilitinya di Malaysia, syarikat ini menggaji lebih daripada 14,000 orang dan memberi perkhidmatan kepada pelbagai industri, termasuk automotif dan pengangkutan; infrastruktur awan dan pusat data; pertahanan dan aeroangkasa; penjagaan kesihatan; serta peralatan modal semikonduktor.

Jabil telah diiktiraf sebagai Majikan Terbaik dan Majikan Pilihan dalam Anugerah Malaysia International HR (MIHRM) 2024; menerima Sijil Emas Program Penilaian Pengesahan Responsible Business Alliance (RBA VAP) bagi Pulau Pinang; menerima Anugerah CSR Malaysia 2025; Anugerah Kecemerlangan dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR); Anugerah Komitmen ESG daripada Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI); serta merupakan penerima lama Anugerah Kecemerlangan MY AmCham Cares.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jawatan yang tersedia serta memohon jawatan di kemudahan Jabil di Malaysia, sila layari jabil.com/careers.

Maklumat Tentang Jabil

Di Jabil (NYSE: JBL), kami berbangga menjadi rakan kongsi yang dipercayai kepada jenama terkemuka dunia dengan menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam bidang kejuruteraan, rantaian bekalan dan pembuatan. Dengan pengalaman selama 60 tahun merentasi pelbagai industri serta rangkaian luas yang merangkumi lebih daripada 100 lokasi di seluruh dunia, Jabil menggabungkan capaian global dengan kepakaran tempatan bagi menyediakan penyelesaian yang boleh diskalakan dan disesuaikan mengikut keperluan. Komitmen kami melangkaui kejayaan perniagaan dalam usaha kami membangunkan proses lestari yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta memupuk komuniti yang dinamik dan pelbagai di seluruh dunia. Ketahui lebih lanjut di www.jabil.com.

Maklumat Tambahan:

Ciri-ciri Utama Fasiliti Hab Logistik Pintar Jabil

Skala: Fasiliti ini menempatkan kira-kira 52,300 posisi palet dan dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) sepenuhnya, persekitaran iklim terkawal serta teknologi gudang pintar bagi memastikan pengendalian bahan bernilai tinggi dan sensitif yang selamat, termasuk semikonduktor dan komponen elektronik termaju. Fasiliti ini turut menampilkan kren penindan bertingkat tinggi, robotik autonomi serta keupayaan kembar digital.

Jaminan Keselamatan: Direka dan dibina mengikut piawaian FM Global, fasiliti ini menjanjikan persekitaran operasi yang sangat berdaya tahan dan selamat.

Keterlihatan dan kebolehkesanan masa nyata: Operasi ini berteraskan platform Kembar Digital bersepadu yang dikuasakan oleh teknologi Kecerdasan Buatan ("AI") dan Internet of Things ("IoT"). Sistem berasaskan data ini menawarkan keterlihatan operasi masa nyata, keupayaan penyelenggaraan pencegahan, pengoptimuman tenaga serta kebolehkesanan inventori hujung ke hujung, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi di samping menyokong objektif kebolehpercayaan dan kelestarian jangka panjang.

Keselamatan: Disokong oleh rangkaian bersepadu yang terdiri daripada kira-kira 160 unit robot mudah alih autonomi (AMR), robot mudah alih forklift (FMR), unit pemindahan udara (STU), lengan robotik serta sistem pengimbasan automatik, fasiliti ini membolehkan pergerakan bahan dan pengurusan inventori yang lancar, daripada penerimaan masuk hingga pemenuhan penghantaran keluar.

Pertimbangan kelestarian telah diterapkan dalam keseluruhan reka bentuk dan operasi fasiliti ini. Sistem fotovoltaik solar di atas bumbung dijadualkan untuk dipasang pada September 2026, sekali gus menyokong sasaran fasiliti ini untuk memperoleh pensijilan GreenRE Bronze serta menyumbang kepada operasi perindustrian rendah karbon.

Fasiliti ini dibangunkan oleh PTT Synergy Group Berhad (Bursa: PTT) melalui anak syarikat milik penuhnya, PROTT Sdn. Bhd. (PROTT), yang bertindak sebagai penyedia penyelesaian intralogistik pintar lengkap secara menyeluruh, dengan mengintegrasikan teknologi gudang pintar, automasi dan keupayaan kembar digital.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

Hubungan Media
Aileen Han
Pengarah, Pemasaran dan Komunikasi Perusahaan
publicrelations@jabil.com

Sumber: Jabil, Inc.

--BERNAMA
Back to Home