PRESS RELEASES
[Back]
Tuesday, 12/03/2024 10:47:50
NASIHAT KESELAMATAN MAKANAN SEMPENA BULAN RAMADAN AL-MUBARAK
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bersempena dengan bulan Ramadan ini, pastinya penjualan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan premis makanan akan menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat. Bazar Ramadan dan premis makanan seluruh negara akan dipenuhi dengan pengunjung yang ingin membeli pelbagai jenis juadah makanan untuk berbuka puasa. Selaras dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan peraturan di bawahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan. Aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah bermula sebelum Ramadan lagi. Ini diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis-premis tumpuan seperti hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis-premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais. Kerjasama dengan PBT juga dikukuhkan lagi dengan penganjuran taklimat-taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar-bazar ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan. Pada bulan Ramadan kali ini, KKM akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara. Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan yang bermatlamat untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak PBT masing-masing. Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial. Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli ˇ°Perhati dan Pilihˇ± serta amalkan ˇ°Lihat Hidu Rasaˇ± kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan. Para peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq. KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 12 MAC 2024 SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Tel : +603-8883 3470 Faks : +603-8888 6187 --BERNAMA
Another project by BERNAMA Media Relations and Event Management (MREM).
Click here
to add free PRESS RELEASES to your website.